Doktor kecewa dengan KKM, nak ‘claim’ elaun kerja lebih 24 jam ditolak. Seorang doktor meluahkan rasa kecewa terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak meluluskan tuntutannya setelah terpaksa bekerja selama 24 jam.
Semalam, tangkap layar status Facebook milik doktor tersebut (nama tidak didedahkan) telah tular di aplikasi X selepas ia disiarkan oleh @fiholicMD.
“Saya adalah seorang doktor di sebuah hospital kerajaan. Pada bulan April lalu, saya telah bekerja selama 24 jam untuk melunaskan tanggungjawab saya dalam menyelamatkan nyawa orang lain.
“Namun, disebabkan masalah teknikal, kehadiran saya pada pagi tersebut tidak direkodkan. Akibatnya, tuntutan saya berjumlah RM200 telah ditolak,” jelasnya.
Menurut doktor tersebut, dia telah membuat rayuan kepada pegawai yang bertugas, namun tuntutannya tetap ditolak.
Dia mengakui bahawa penolakan tersebut membuatkannya rasa kecewa dan putus asa dengan sistem kesihatan yang ada di negara kita.
“Saya rasa perkara ini boleh meruntuhkan motivasi dan sangat tidak adil. Saya kecewa kerana kerja keras saya seolah-olah tidak dipedulikan.
“Saya harap KKM dapat menyelesaikan isu ini dengan segera. Para doktor tidak seharusnya perlu bekerja keras untuk mendapatkan tuntutan bagi usaha mereka,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna lain di aplikasi X turut meluahkan kekecewaan yang sama setelah membaca pengakuan doktor tersebut.
Kebanyakannya mengakui bahawa jumlah tuntutan yang diminta oleh doktor itu tidak setimpal dengan hasil usaha yang telah mereka berikan.
“Di mana-mana pun sama sahaja. Kalau dokumen tidak lengkap pun mudah sahaja mereka tolak,” kata seorang pengguna.