“Disuruh minum air janggut, air gigi, air rambut dan air kaki sekali untuk ambil berkat”- Dr Maza. Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mendedahkan kewujudan kultus berunsur gengterisme agama di negara kita yang mengamalkan anutan dan kepercayaan yang sangat taksub terhadap pemimpin dan pertubuhan mereka.
Mohd Asri, yang lebih dikenali sebagai Dr Maza, memaklumkan bahawa Majlis Fatwa Perlis telah menerima taklimat daripada pasukan kajian serta bekas ahli pertubuhan tersebut. Taklimat itu menunjukkan betapa seriusnya situasi ini, seolah-olah seperti satu gengterisme yang menghalang pengikutnya daripada meninggalkan pertubuhan, malah merampas isteri dan anak-anak mereka jika mereka cuba lari.
Menurut Dr Maza, ada kepercayaan-kepercayaan yang mengagungkan pemimpin mereka dan pengikut dipaksa untuk memakan serta meminum ‘air berkat’ daripada pemimpin-pemimpin yang telah meninggal, termasuk juga yang masih hidup. Beliau menjelaskan bahawa mereka perlu minum air berkat seperti air janggut, air gigi, air rambut, dan air kaki.
“Kita diberikan taklimat oleh pasukan kajian mengenai satu pertubuhan yang terdapat di Perlis dan juga di negeri-negeri lain. Mereka mempunyai rangkaian seperti restoran dan mart. Dulu, mereka berkait dengan pemimpin yang sudah meninggal yang percaya kepada al-Mahdi dan lain-lain, tetapi kini mereka telah menukar nama pertubuhan dan orang yang memberi taklimat ini adalah bekas pengikut pertubuhan tersebut.
“Dari cerita-cerita dan rakaman yang ditunjukkan, jelas menunjukkan betapa dahsyatnya gengterisme ini. Pengikut pertubuhan ini dihalang daripada keluar, malah isteri dan anak-anak mereka dirampas jika mereka cuba melarikan diri. Mereka juga dipaksa untuk memakan dan meminum air berkat dari pemimpin mereka, termasuk air janggut, air gigi, air rambut, dan air kaki,” dedah Dr Maza dalam video yang dimuat naik oleh akaun Facebook Suara Sunnah, malam tadi.
Dr Maza juga memaklumkan bahawa rangkaian kedai makan yang bernaung di bawah pertubuhan ini diwajibkan untuk memasukkan air berkat dalam masakan mereka.
“Mungkin ada yang pernah merasai air berkat ini. Pengikut kultus ini terpaksa makan dan minum air rendaman janggut, gigi, rambut, tisu, dan kain tuala. Kadangkala, jika pemimpin mereka membasuh kaki, air tersebut disimpan dan digunakan dalam setiap proses memasak di setiap cawangan mereka. Pengikut-pengikut yang keluar dari pertubuhan ini tetapi masih memiliki kepercayaan terhadap ketakutan akan pemimpin mereka yang bakal muncul semula.
“Ini adalah satu bentuk penghambaan yang sangat dahsyat, di mana kanak-kanak dan manusia dipaksa untuk mencari wang, harta, dan duit untuk diberikan kepada kelompok tertentu yang dikatakan mempunyai keberkatan,” ujar Dr Maza.
Beliau turut bertanya kepada bekas pengikut kultus tersebut mengenai laporan kepada pihak berkuasa mengenai kekejaman terhadap anak-anak, isteri, dan diri sendiri.
“Perkahwinan ditentukan, untuk bertemu isteri pun mengikut jadual yang ditentukan, dan anak-anak tidak boleh dijaga takut mengganggu kesetiaan kepada ibu bapa dan guru jemaah mereka. Jika laporan polis dibuat, pihak berkuasa akan menolak laporan itu, menyatakan bahawa semuanya okey kerana pertubuhan ini mempunyai hubungan baik dengan pihak lain.
“Ini adalah isu serius dalam masyarakat yang sudah maju. Kajian ini bukan dari kita, tetapi dari negeri lain yang telah dibentangkan. Saya rasa pihak kerajaan perlu mengambil serius hal ini. Tidak boleh ada bentuk gengterisme seperti ini dalam negara kita, yang melibatkan kekerasan dan tiada tindakan diambil. Malangnya, mereka berpakaian atau beridentiti agama, dan orang ramai memberikan wang kepada mereka atas dasar menyokong tahfiz dan ekonomi Islam.
“Ini mesti ditangani dengan serius,” gesa Dr Maza.