Diminta hantar ke lokasi kubur, wanita misteri tiba-tiba hilang tanpa jejak, hanya tinggal duit kertas lama dan syiling

Photo of author

By Joe

Diminta hantar ke lokasi kubur, wanita misteri tiba-tiba hilang tanpa jejak, hanya tinggal duit kertas lama dan syiling. “Bang (abang), boleh buka cermin belakang tak? Saya nak ambil angin,” itu permintaan penumpang ‘wanita’ misteri kepada pemandu e-hailing dikenali Ahsan Ismail.

Kisah Ahsan, 37, mendapat perhatian selepas berkongsi pengalamannya menghantar wanita misteri ke tanah perkuburan sebelum ‘penumpang’ itu hilang tanpa jejak daripada kereta dipandunya sebaik tiba di lokasi.

Menerusi hantaran itu, Ahsan berkongsi ringkas pengalaman dilaluinya dan turut memuat naik gambar wang kertas dan syiling ditinggalkan di tempat duduk belakang penumpang.

Diminta hantar ke lokasi kubur, wanita misteri tiba-tiba hilang tanpa jejak, hanya tinggal duit kertas lama dan syiling

Merungkai kisah berkenaan, Ahsan yang juga bapa tiga anak berkata, dia berdepan pengalaman seram berkenaan tengah malam tadi dan berseorangan ketika itu.

“Kira-kira 11 malam lebih, nak dekat masuk 12 tengah malam saya dapat satu order (tempahan) daripada seorang penumpang yang minta mengambilnya di bulatan berhampiran Pusat Jantung Samarahan.
“Saya tak syak apa walaupun penumpang itu menetapkan Tanah Perkuburan Islam Pending, di sini sebagai destinasi penghantaran kerana fikir ia sebagai landmark saja.
“Sebaik tiba di lokasi, saya nampak seorang wanita berbaju kurung warna gelap dengan memakai selendang menutup sebahagian kepalanya.
“Kawasan itu gelap jadi saya tak nampak mukanya. Lagipun, ‘dia’ wanita jadi saya tak nak tengok sangat kerana risau ‘dia’ tak selesa.
“Cuma, saya dapat dengar suaranya yang halus ketika minta saya turunkan tingkap belakang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sepanjang perjalanan, Ahsan tidak bersembang dengan penumpang ‘wanita’ berkenaan dan hanya fokus memandu untuk sampai ke destinasi dituju.

Menurut Ahsan, dia juga tidak fikir bukan-bukan kerana menganggap ‘wanita’ yang dibawanya hanya penumpang biasa.

“Apa yang saya ingat, bau ‘wanita’ itu sangat wangi namun tetap tak fikir ‘dia’ hantu atau apa kerana sudah biasa menghidu bau wangian penumpang.

“Jadi, saya pandu kereta macam biasa dan jarak untuk ke lokasi kira-kira 11 kilometer (km) juga.

“Sebaik tiba di lokasi, saya beritahu ‘wanita’ itu yang kita sudah sampai namun dia tidak menyahut dan panggil lagi tetapi senyap.

“Saya ingatkan dia tertidur namun terkejut apabila dapati ‘penumpang’ itu sudah tiada sebaik toleh ke belakang.

“Apa yang tinggal hanya sehelai wang kertas lama RM1, dua helai RM2 dan bakinya 5 sen namun cukup RM13 seperti tambang sepatutnya dibayar selepas dikira semula,” katanya.

Serentak itu, Ahsan jadi tergamam dan buntu seketika kerana masih terkejut dengan apa yang berlaku sebelum beredar daripada lokasi berkenaan.

“Saya terus pandu kereta ke lokasi lain dan hubungi rakan menerusi panggilan video untuk ceritakan apa yang berlaku.

“Waktu itu, saya dapat rasakan ada angin kuat sebelum kereta bergoyang.

“Dalam 1 pagi, saya pulang ke rumah dan tak ceritakan kepada isteri sehingga pagi keesokannya,” katanya.

Ahsan berkata, dia tidak menganggap apa yang berlaku sebagai pengalaman buruk tetapi paling manis untuk dikenang kerana pertama kali berdepan dengannya sejak menjadi pemandu e-hailing, empat tahun lalu.

“Ia kerana ramai kawan yang sudah lama tidak berhubung dengan saya menelefon untuk tanya khabar kerana mahu tahu kisah sebenar.

“Perkongsian di Facebook (Fb) itu pula sekadar untuk ceritakan pengalaman saya cuma ada segelintir netizen tak percaya dan kata tak logik ‘hantu’ boleh buat tempahan e-hailing.

“Bagaimanapun, ada juga yang percaya dan secara peribadi, saya tak terkejut kerana alam ghaib memang ada cuma kita saja tak boleh nampak dengan mata kasar serta bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman mistik.

“Ada yang hantar kiriman mesej tawarkan ribuan ringgit untuk beli wang berkenaan namun saya tak fikir untuk jual buat masa ini kerana mahu simpan dahulu buat kenangan,” katanya yang tidak menganggap pengalaman itu melemahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki buat keluarga.

Baca Lagi:
Ramai persoal wajah Fathia Latiff seperti ‘orang lain’
Penduduk kampung panik 7 jam tanak nasi kenduri tak masak-masak
Pelakon King KL Gengster, Ridzuan Hashim meninggal dunia