“Dia sakit tu”, tular penumpang baring atas peha ketika memandu. Perbuatan seorang lelaki yang didakwa membiarkan seorang wanita baring di pahanya ketika memandu tular di media sosial.
Tindakan individu yang memandu sebuah kenderaan buatan tempatan berwarna kelabu itu di percayai berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara itu mendapat kecaman netizen yang menyifatkan perbuatan itu membahayakan dirinya dan pemandu lain.
Hantaran tular di Twitter itu menggunakan tajuk ‘ Dia sakit tu..” dikatakan berlaku pada Isnin (9 April 2023).
“…9/4/23..nak beromen pi dalam hutan, jenis berok tu ja tempatnya, drive (memandu) 70KM/H pastu ko stay lane tengah.
” Aku perati ja dari start (mula) 3 lane Ayer Keroh sampai Pedas Linggi, ko langsung tak tukar lane, tak padan lesen P,” tulisnya.
Hantaran itu kemudiannya mendapat lebih 800,000 tontonan dengan 1,180 diulang ciap berserta 2,557 tanda suka.
Seorang pengguna Twitter turut memberikan komen pada hantaran tersebut dengan menulis “Plate nombor jelas tak? Boleh cari sampai ke rumah untuk bertanya”.
Seorang lagi pengguna, mahu orang ramai tidak cepat bersangka tidak baik.
“Kita tak tahu pucuk pangkal. Mungkin jadi wife (isteri) dia, mungkin jadi ada apa-apa. Tahniah min, anda perantai dosa. Harap-harap jumpa la orang tu di padang Mahsyar,” tulisnya.
Malah pemilik akaun yang berkongsi luahan individu berkenaan turut memberitahu mahu pelayar media sosial itu melihat gambar berkenaan dengan betul-betul.
” Tengok gambar tu betul-betul, Kalau newlyweds pun takkan sampai nak baring atas peha masa bawak keta (kereta), soal keselamatan jalan raya lain pun kena ambil kira jugak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad ketika dihubungi memaklumkan tiada laporan berhubung kejadian itu diterimanya setakat ini.