Dewan Negeri Selangor isytihar kerusi DUN Batang Kali kosong

Photo of author

By Joe

Dewan Negeri Selangor isytihar kerusi DUN Batang Kali kosong. Dewan Negeri (DUN) Selangor hari ini mengisytiharkan kekosongan kerusi Batang Kali, berikutan wakil rakyat berkenaan, Harumaini Omar (PEJUANG) gagal hadir diri tanpa kebenaran, semasa persidangan dewan melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun lalu.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, berkata pengisytiharan itu mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Beliau akan menghantar makluman pengisytiharan kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Dewan Negeri Selangor isytihar kerusi DUN Batang Kali kosong

“Tahun lalu, DUN Selangor bersidang dari 14 hingga 18 Mac, 21 Mac, 25 hingga 29 Julai, 1 hingga 2 Ogos, 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember dalam Penggal Kelima DUN Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022.

“Penyata Rasmi dan Buku Kedatangan Ahli DUN Selangor menunjukkan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar, didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker DUN Selangor pada keseluruhan persidangan dewan dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

“Tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan Pejabat Speaker yang menunjukkan Yang Berhormat memohon kebenaran daripada Speaker untuk tidak hadir pada persidangan berkenaan,” katanya dalam sidang media khas di Lobi Dewan Annex SUK, di sini hari ini.

Suee Lim berkata, berdasarkan rekod Penyata Rasmi dan Buku Kehadiran, tarikh akhir kehadiran Harumaini ke persidangan dewan adalah pada 27 Julai tahun lalu.

“Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari tarikh 28 Julai, maka seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara LXIX Undang -Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran Yang Berhormat Batang Kali melebihi enam bulan.

“Maka, pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Yang Berhormat Harumaini Omar adalah kosong berkuat kuasa dari 28 Januari,” katanya.

Harumaini adalah calon BERSATU, sekali gus Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dilangsungkan pada 2018.

Kerusi itu dimenangi apabila mengetepikan dua calon lain termasuk penyandang Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan daripada Barisan Nasional (BN) dan seorang lagi calon dari PAS, Mohd Hasnizan Harun.

Harumaini memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 8,315 undi apabila memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 undi yang diperoleh Mat Nadzari.

Apabila BERSATU meninggalkan PH pada Februari 2020, Harumaini enggan menyertai langkah itu, sebaliknya menyertai PEJUANG.

Ditanya sama ada Harumaini ada menghubungi beliau untuk memaklumkan alasan ketidakhadiran pada persidangan dewan, Suee Lim berkata sehingga kini tiada sebarang berita.

“Tiada… dalam tarikh yang saya sebutkan tadi, tiada surat, tiada hubungi. Sepatutnya beliau (Harumaini) kena tulis surat kalau tidak hadir, ada masalah dan sebagainya kepada Setiausaha DUN Selangor.

“Ahli Dewan sendiri kena bertanggungjawab memaklumkan kepada Setiausaha DUN Selangor, bukan Speaker untuk bertanya kepada setiap ADUN hendak datang sidang atau tidak,” katanya.

Pada masa sama katanya, beliau turut menjelaskan kewajaran pengisytiharan kekosongan kerusi dibuat hari ini walaupun kerusi itu kosong berkuat kuasa 28 Januari lalu.

“Saya ambil sendiri masa (pengisytiharan) kerana saya mengamalkan dengan tertib dan teratur, kita minta pandangan Penasihat Undang-Undang negeri, baru isytihar.

“Beliau (Harumaini) ketahui (kekosongan kerusi) melalui sidang media ini kerana kita isytihar dahulu, notis kekosongan dihantar kepada SPR dalam masa terdekat.

“Dengan pengisytiharan ini, hilang kelayakan sebagai ADUN, beliau juga dilarang hadir ke sidang DUN Selangor yang bermula pada Mac, tidak boleh membuat rayuan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, segala elaun dan gaji Harumaini sebagai ADUN Batang Kali hanya akan diberi setakat bulan lalu.

“Bermula Februari seterusnya, segala pembayaran gaji dan kebajikan beliau sebagai ADUN akan dihentikan. Namun, pencen ADUN beliau tidak terjejas, masih ada,” katanya.

Beliau berkata, pengisytiharan hari ini adalah kali kedua dilakukan oleh DUN Selangor selepas perkara sama dibuat ke atas ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pada 2011.

Baca Lagi:
Kitab Injil tertua dan paling lengkap di dunia dilelong RM220 juta
Kereta Proton Saga muncul dalam siri Mr.Bean akhirnya terjawab
Budak baru nak ambil SPM dari Shah Alam terima gaji RM14,000 sebulan