Darah babi didakwa ada dalam putung rokok. Sebelum ini, berita mengenai penemuan sel darah babi dalam filter rokok telah menjadi sensasi pada tahun 2010.
Namun, disebabkan oleh keuntungan besar yang diperoleh melalui cukai tembakau oleh negara, isu mengenai filter rokok yang mengandungi DNA ‘binatang ekor berbelit’ ini seolah-olah terlupakan dan tidak ada perkembangan lanjut mengenainya.
Penemuan ini diungkapkan oleh Profesor Simon Chapman, seorang pakar akademik dari Australia yang berhasil menemukan sel darah merah babi sebagai komponen penyaring kimia dalam filter rokok.
Kajian tersebut menemui bahawa babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk dalam bahan penapis rokok tersebut.
Filter yang menggunakan hemoglobin babi dikatakan sangat berkesan dalam menyerap bahan toksik yang terdapat dalam asap rokok.
Menurut laporan dari portal Republika, Dr. Anna P Roswiem, seorang saintis di Institut Pertanian Bogor di Indonesia, turut mengesahkan kehadiran sel darah babi di dalam filter rokok.
“Iya, ia ada dalam filternya. Dalam rokok terdapat dua lapisan filter. Lapisan pertama berwarna putih yang terus ke mulut, lapisan ini bersambung dengan filter kedua yang mengandungi hemoglobin (darah) babi.
“Darah ini digunakan untuk menyaring toksin yang ada dengan lebih efisien. Hemoglobin dari darah babi membantu menyaring racun-racun tembakau supaya jumlah racunnya berkurangan,” katanya.
Ini menyebabkan zat-zat babi ini melekat pada bibir ketika menghisap rokok dan masuk ke dalam badan ketika anda menyedut asapnya…
Namun, jangan risau, sehingga kini hanya rokok yang dijual di Greece yang mengakui penggunaan filter babi kerana undang-undang tempatan di sana mengharuskan semua kandungan rokok diberitahu kepada orang awam.
Di negara-negara lain termasuk Malaysia, maklumat mengenai kandungan pembuatan rokok dan filter tidak diwajibkan oleh pembekal dan pengilang rokok kerana ia dianggap sebagai rahsia perniagaan.
Oleh itu, adalah mungkin bahawa hemoglobin babi ini digunakan dalam rokok yang dijual di Malaysia tanpa pengetahuan kita, terutama kerana kebanyakan jenama rokok di sini adalah import.
Bagaimanapun, ini hanya pandangan dari kami, tetapi tidak mustahil perkara sebegini berlaku.
Adakah selepas ini, perokok-perokok di Malaysia mahu kerajaan membuat kajian mengenai kandungan bahan dalam filter rokok untuk mengurangkan kebimbangan semasa merokok?
Selain itu, anda ‘mungkin’ mempunyai satu lagi alasan untuk tidak merokok selain dari harga rokok yang semakin mahal dan amaran kesihatan yang jelas.
Jadi, apa yang masih ditunggu oleh para perokok terutama yang beragama Islam… berhentilah merokok sekarang.