Cucu menangis, merayu minta nenek tolong, dakwa dipaksa jadi scammer di Myanmar

Cucu menangis, merayu minta nenek tolong, dakwa dipaksa jadi scammer di Myanmar

Cucu menangis, merayu minta nenek tolong, dakwa dipaksa jadi scammer di Myanmar. Dipukul dengan kayu renjatan elektrik dan diperdaya bekerja sebagai ‘scammer’ dalam talian, seorang lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia merayu untuk diselamatkan selepas didakwa terkandas di Myanmar sejak Mei lalu.

Nenek mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 61, tampil ke Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat, di sini memohon bantuan agar cucunya yang dipanggil dengan nama Yang dibawa pulang semula ke tanah air.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan, berkata nenek mangsa memaklumkan menerima panggilan menerusi Facebook Messenger daripada cucunya itu Isnin lalu yang meminta tolong selepas terputus hubungan sejak Mei lalu.

“Cucunya menangis meminta tolong kepada neneknya kerana sudah terkandas dan diperdaya bekerja sebagai ‘scammer’ di Myanmar sejak lima bulan lalu.
“Melalui Facebook Messenger dia meminta neneknya membuat laporan polis untuk menyelamatkannya,” katanya pada sidang media di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat, di sini hari ini.

Cucu menangis, merayu minta nenek tolong, dakwa dipaksa jadi scammer di Myanmar

Guo Nan berkata, lebih menggusarkan apabila nenek dimaklumkan cucunya dipukul dengan kayu renjatan elektrik sekiranya tidak memenuhi arahan untuk melakukan kerja yang diminta.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya membantu keluarga Chong untuk membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Tawas, di sini pada hari sama.

“Jadi, kita berusaha menghubungi mangsa dan mangsa memberitahu dia setakat ini dalam keadaan selamat.

“Namun, mangsa memberitahu pernah dipukul dengan kayu renjatan elektrik apabila tidak dapat membuat ‘sales’ melalui perniagaan dalam talian itu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, nenek mangsa sebelum ini hanya diberitahu oleh cucunya mahu pergi bekerja di ibu kota Kuala Lumpur.

“Namun, mangsa sebenarnya diperdaya oleh rakannya yang menjanjikan peluang pekerjaan yang lumayan di Thailand sebelum dibawa ke negara Myanmar melalui perjalanan secara tidak sah.

“Mangsa ada memberitahu bahawa majikan meletakkan syarat untuk membayar pampasan sebanyak RM115,000 sekiranya mahu pulang,” katanya memaklumkan sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu dapur di Ipoh dan Kuala Lumpur.

Katanya, telefon mangsa juga dirampas dan terpaksa menukar nombor telefon berkali-kali berikutan bimbang dikesan.

“Mangsa turut memberitahu kawasan di situ dikawal dengan ketat dan seramai kira-kira 100 mangsa yang kebanyakan warga tempatan turut diperdaya melakukan pekerjaan itu di situ,” katanya.

Katanya, beliau ketika ini saling berhubung dengan mangsa dan semua maklumat dikumpulkan untuk dihantar kepada pihak polis.

“Kita juga menghantar surat kepada Polis ASEAN (ASEANAPOL), Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan juga kedutaan di Myanmar agar semua pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan susulan terhadap kes pemerdagangan manusia ini,” katanya.

Baca Lagi:
PAS, Bersatu, Umno sudah mula runding bentuk kerajaan gabungan – Anwar
Anwar Ibrahim tuntut ganti rugi RM10 juta dari Ketua PAS Kedah Sanusi
Kanak-kanak 9 tahun maut dihimpit pagar garaj ketika main sorok-sorok
CATEGORIES