Cara wanita ini didik anak jadi suka makan makanan yang dimasak di rumah raih perhatian ramai. Hati ibu mana yang tidak sakit apabila anak-anak lebih berselera untuk menikmati makanan yang dibeli dari kedai berbanding air tangannya sendiri?
Menurut cerita seorang ibu yang menggunakan akaun Auni Farhana di Facebook, ketiga-tiga anaknya begitu gemar makan nasi lemak di sebuah gerai yang sama hampir setiap hari.
Lebih menyakitkan hati, Auni berkata bahawa anak-anaknya terus meminta untuk makan nasi lemak di gerai tersebut walaupun dia sudah menyediakan hidangan di rumah.
“Kalau saya masak dekat rumah pun mereka tetap nak pergi beli juga, memang saya naik angin la,” katanya.
Sehinggalah pada suatu hari, Auni mendapat idea untuk menghentikan anak-anaknya daripada terus meminta nasi lemak dari kedai berkenaan.
“Pada suatu hari, selepas balik dari tuisyen pukul 9 malam, anak-anak cakap lapar. Saya sudah masak, tapi katanya tak kena tekak. Sakit betul hati saya. Tapi waktu lalu kedai tu, ia tutup.
“Tiba-tiba datang idea jahat saya. Saya berpura-pura nampak kedai tu buka, lepas tu saya turunkan tingkap kereta dan jerit cakap nak order seperti biasa. ‘Nasi lemak dua, ayam tight, bungkus ya kak,’” ceritanya.
“Beria betul muka saya masa buat pesanan tu. Anak saya dua orang yang besar ni tercengang tengok saya pergi buat pesanan. Tapi saya cakap dengan siapa? Memang kedai tu gelap,” katanya.
Kata Auni, dia tetap meneruskan agenda untuk menggerunkan anak-anaknya walaupun mereka sudah menangis ketakutan.
Malah, si ibu kemudiannya berpura-pura setia menunggu pesanan sebelum beredar.
“Kemudian tiba-tiba saya buka tingkap untuk ambil nasi tu sambil cakap dengan makcik kedai yang saya nak hutang sebab tak bawa duit tunai. Padahal memang tak wujud pun.
“Si kakak yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu menangis dan lari pergi duduk di belakang. ‘Umi cakap dengan siapa?’ Sampai rumah, saya suruh anak-anak naik rumah dulu bawa ‘plastik’ makanan.
“Meraung budak dua orang ni. Lama juga mereka bertaubat dan tidak makan di situ lagi. Bungkus pun jarang dah, itu pun dengan abah mereka sahaja, dengan saya memang tak berani lagi,” ceritanya lagi.
Hantaran yang dikongsikan oleh Auni ternyata mencuit hati ramai orang.
Rata-rata netizen turut berterima kasih kepada Auni kerana berpendapat taktiknya boleh digunakan terhadap anak-anak mereka pula.
“Mak-mak ni sekali dia ‘naik hantu’, hantu pun takut nak masuk campur. Baik diam di situ. Buat-buat tak nampak manusia.
“Mesti sampai besar nanti mereka akan cerita pula kepada anak-anak mereka tentang pengalaman mistik tu. Padahal rekaan mak dia sahaja.
“Menjadi juga ni. Boleh cuba rasanya sebab kadang-kadang untuk mengajar anak-anak memilih makanan, kena guna cara macam ni,” kata netizen.