Cara buat pewangi rumah paling jimat di dunia, comfirm satu rumah bau harum semerbak. Bau harum yang menyegarkan menyambut kedatangan pulang selepas sehari bekerja pastinya membuatkan ‘rumahku menjadi syurgaku’. Namun, tidak semua orang mampu mengeluarkan wang untuk membeli sebotol kecil pewangi yang hanya tahan beberapa minggu.
Jangan bimbang, jangan kecewa. Kali ini, berkongsi cara membuat pewangi bilik dengan modal beberapa ringgit sahaja. Selain berfungsi sebagai pewangi bilik, ia juga boleh digunakan sebagai penghalau nyamuk.
Ikuti perkongsian ini dari laman Facebook Recipes Learn.
Pewangi bilik buatan sendiri ini hanya memerlukan beberapa bahan yang boleh didapati di kedai runcit.
Anda perlu menyediakan sebiji limau nipis untuk satu set. Anda juga boleh sediakan beberapa biji lagi untuk setiap ruang seperti ruang tamu, bilik tidur, dan bilik mandi.
Sediakan bekas plastik kecil yang bersaiz hampir sama dengan limau nipis tadi. Kemudian, anda perlu dua sudu besar garam kasar dan satu sudu besar cuka alkohol. Jika tiada cuka alkohol, boleh digunakan cuka putih sebagai gantinya.
Itulah sahaja bahan yang diperlukan.
Cara mudah untuk membuat pewangi bilik:
Untuk menyediakan satu set pewangi bilik, ambil sebiji limau nipis dan belah empat.
Pastikan anda tidak belah limau nipis itu sepenuhnya. Cukup belah hingga limau nipis dapat dibuka dan membentuk seperti sekuntum bunga.
Selepas itu, letakkan limau nipis dalam bekas plastik yang telah disediakan. Kemudian, taburkan dua sudu besar garam kasar dan satu sudu besar cuka putih. Setelah itu, proses pembuatan sudah selesai.
Dengan hanya menggunakan beberapa bahan ini, set pewangi buatan sendiri anda akan menebarkan haruman segar citrus di seluruh ruang.
Anda juga boleh mencuba pelbagai haruman dan kegunaan untuk pewangi ini.
Untuk menghilangkan bau yang tidak menyenangkan,kami mencadangkan untuk meletakkan set ini di dalam bilik mandi kerana aromanya yang kuat.
Jika anda ingin menghalau nyamuk tanpa menggunakan ubat yang menghasilkan asap di seluruh rumah, gunakanlah set pewangi yang telah anda sediakan sebelum ini. Anda hanya perlu menambah bunga cengkih dan letakkan di ruang tamu atau bilik tidur.
Namun, perlu diingat bahawa penggunaan bunga cengkih tidak berkesan untuk menghalau nyamuk Aedes, seperti yang disahkan dalam satu kajian. Nyamuk Aedes ini boleh membawa penyakit berbahaya seperti denggi, chikungunya, dan Zika.
Jika rumah atau kawasan anda berisiko tinggi mendapat denggi, sila pastikan anda mengikut panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.