Cahaya aneh bentuk tiang di langit, kenali fenomena tiang cahaya. Pada minggu lepas, satu gambar yang memaparkan cahaya aneh berbentuk seperti tiang menjadi tular di media sosial. Kejadian itu dipercayai berlaku di Pelabuhan Mikuriya di Bandar Daisen, Tottori di Jepun.
Para penduduk di kawasan tersebut dikejutkan dengan paparan cahaya yang memukau, di mana tiang-tiang bercahaya terbentang di langit malam.
Walaupun hanya sekeping gambar yang dikongsi, namun ia cukup untuk membuatkan orang ramai tertanya-tanya tentang kewujudan cahaya tersebut, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi yang mengaitkan fenomena tersebut dengan alam.
Dalam gambar tersebut, terdapat sembilan tiang cahaya aneh yang berada berdekatan antara satu sama lain. Cahaya tersebut amat berbeza dengan cahaya matahari yang selalu memancarkan cahaya dari pelbagai arah.
Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan cahaya aneh tersebut? Adakah ia merupakan satu fenomena yang jarang berlaku?
Kenali fenomena tiang cahaya
Pada tahun 2021, kejadian serupa juga pernah berlaku di Bintulu, Sarawak, dan menurut penerangan dari Agensi Angkasa Negara Malaysia (MYSA), fenomena tersebut dikenali sebagai ‘light pillars’ (tiang cahaya).
Difahamkan, tiang cahaya itu berlaku apabila di permukaan Bumi terdapat cahaya terang dan dikelilingi oleh air, suhu atmosfera menjadi sejuk hingga terbentuk ais (berbentuk kepingan) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Pada masa yang sama, suhu di permukaan Bumi pula sangat panas dan pertembungan kedua-dua keadaan ini menyebabkan cahaya tersebut terpantul ke atmosfera.
Kejadian itu membuatkan ia kelihatan seolah-olah tiang cahaya yang tergantung di langit.
Untuk pengetahuan, fenomena ini selalu berlaku di kawasan kutub atau polar dan ia juga boleh terjadi apabila cahaya dipantulkan daripada bot nelayan.
Isaribi Kochu, tarik tangkapan lebih besar
Seperti yang berlaku di Jepun, ia bukanlah cahaya aneh yang muncul dari langit, tetapi ia adalah cahaya ‘buatan’ yang dipancarkan oleh para nelayan.
Fenomena ini juga dikenali sebagai ‘Isaribi Kochu’ di Jepun, yang bermaksud tiang cahaya yang menarik ikan, di mana para nelayan akan menggunakan lampu dari bot mereka untuk memancarkannya ke langit pada waktu malam, mengikut Japan Today.
Lampu yang diletakkan pada bot nelayan tersebut bertujuan untuk menarik tangkapan yang lebih besar, dan boleh dikatakan ia merupakan satu amalan biasa yang kerap dilakukan oleh para nelayan di Jepun.
Apabila keadaan menjadi sejajar, cahaya dari bot nelayan itu memantulkan kepingan ais dan mencipta tiang cahaya yang menegak, yang bersinar cukup terang untuk dilihat dari pantai.
Oleh itu, fenomena Isaribi Kochu ini secara harfiah dipanggil ‘tiang cahaya yang menarik ikan’, dan keadaan yang jarang berlaku itu pasti membuatkan ramai kagum sekiranya mereka melihatnya untuk kali pertama.
Gabungan buatan manusia dan semula jadi
Tidak dapat dinafikan, fenomena ini menunjukkan gabungan menarik antara kepandaian manusia dan keajaiban semula jadi.
Ia tidak hanya memperlihatkan keindahan cara memancing secara tradisional dengan keadaan atmosfera, tetapi juga membentuk satu fenomena yang menakjubkan.
Menarik, bukan? Semoga artikel ini bermanfaat.