Budak 5 tahun jawab soalan matematik darab tak sampai 5 saat curi tumpuan. Seorang budak lelaki di Johor Bahru mencuri tumpuan selepas mampu menjawab kira-kira 10 soalan matematik dengan tepat tanpa menggunakan kalkulator.
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan juga mampu menyelesaikan pengiraan itu dalam masa tidak lebih daripada 60 saat.
Malah, keistimewaan Uwais Mohammad Zulqarnain yang bukan sahaja berjaya membuat pengiraan darab satu angka, malah boleh membaca huruf Sepanyol, Rusia dan Jawi.
Anak Sudah Mampu Menguasai Matematik Sejak Berusia Empat Tahun
Menerusi laporan daripada Berita Harian, ibu kanak-kanak berkenaan, Surya Syafiqah A Rahim, berkata sejak berusia empat tahun, anak lelaki sulungnya daripada dua beradik itu dapat menguasai matematik secara berperingkat apabila boleh membuat pengiraan tambahan, tolak dan darab.
Bukan itu sahaja, Surya Syafiqah juga memberitahu bahawa Uwais juga boleh membuat pengiraan ratusan hingga trilion.
Menurutnya, Uwais juga boleh membuat pengiraan kuasa dan punca kuasa.
Tidak dinafikan, kebolehan dan keistimewaan Uwais adalah hasil kesungguhan beliau dan suami, Mohammad Zulqarnain Alan Zamirza, yang merupakan seorang jurutera, yang sentiasa berusaha memupuk minat anaknya dalam akademik.
Belajar Pelbagai Bahasa Secara Dalam Talian
Tambah Surya Syafiqah, mereka sentiasa mendedahkan permainan pengiraan kepada Uwais selain membawa Uwais ke kedai buku dan menemani beliau membaca.
“Kami juga menghantarnya ke kelas membaca dan pertuturan di bandar raya ini.
“Dia memang berminat untuk belajar pelbagai bahasa termasuk bahasa Sepanyol dan Rusia. Dia belajar sendiri dengan mengakses sumber pembelajaran dalam talian dengan pemantauan saya dan suami.
“Berbanding bermain permainan video di telefon bimbit, Uwais lebih gemar belajar sesuatu yang baharu,” katanya.
Menurutnya, sepatutnya Uwais mengikuti kelas matematik kanak-kanak berumur lima tahun, namun kini dia dimasukkan ke kelas kanak-kanak berumur enam tahun.
“Selalunya dia jawab satu soalan matematik untuk darab satu angka dalam masa antara 3 hingga 5 saat.
“Selalunya saya akan memberikannya 20 soalan, kemudian berehat sekejap, namun dia tidak pernah bosan, sebaliknya mahu mencuba lebih banyak soalan,” katanya.
Uwais pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat sekolah termasuk murid cemerlang dan anugerah matematik.
“Selain pendedahan yang kami lakukan, pemakanan Uwais juga banyak mempengaruhi kekuatan mindanya kerana dia gemar mengambil sayuran seperti brokoli, timun, lobak merah, tomato, selain buah-buahan dalam menu harian.
“Kami berharap perkembangan aritmetik anak semakin meningkat selain dapat meningkatkan penguasaan ilmu matematik dan bahasa,” katanya.
Kanak-kanak lima tahun, Uwais Mohammad Zulqarnain mampu menyelesaikan soalan matematik dengan tepat tanpa menggunakan kalkulator. – Video NSTP/ihsan keluarga. pic.twitter.com/Kz1iSW4O2u
— Berita Harian (@bharianmy) January 10, 2025