Bos empayar LVMH manusia no 1 paling kaya di dunia

Bos empayar LVMH manusia no 1 paling kaya di dunia

Bos empayar LVMH manusia no 1 paling kaya di dunia. Senarai terbaharu majalah Forbes menamakan bilionair, Bernard Arnault sebagai manusia paling kaya di dunia dengan nilai kekayaan bersih mencecah AS$192.0 bilion (RM844.70 bilion), lapor portal berita the quint semalam.

Ini bukan kali pertama beliau menjadi orang terkaya di dunia kerana ahli perniagaan Perancis tersebut pernah dinobatkan sebagai bilionair paling kaya dalam tahun 2019, 2020 dan 2021, namun untuk tempoh yang singkat.

Arnault, 73, merupakan pengasas bersama empayar LVMH yang menjual produk mewah serta kecantikan seperti jenama Louis Vuitton dan Sephora selain merupakan firma mewah terbesar dunia dengan lebih 175,000 pekerja serta 5,500 kedai.

Pada November 2022, nilai pasaran LVMH adalah sekitar €371 bilion (RM1.7 trilion), demikian menurut pengiraan Statista, menjadikannya salah sebuah syarikat paling bernilai di dunia dan mendahului Mastercard, Chevron serta Nestle.

Bos empayar LVMH manusia no 1 paling kaya di dunia

Menurut Indeks Bilionair Bloomberg, pada 13 Disember tahun lalu, dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$171 bilion (RM751.97 bilion) membolehkan Arnault bergelar manusia terkaya di dunia untuk seketika dan memintas Elon Musk yang dianggarkan mempunyai kekayaan AS$164 bilion (RM721.19 bilion).

Pengasas kenderaan elektrik, Tesla dan pemilik Twitter serta SpaceX berusia 51 tahun itu sebelum ini merupakan manusia terkaya dunia. Beliau kini menduduki tempat kedua dengan nilai kekayaan bersih AS$140.5 bilion (RM613.13 bilion).

Bilionair infrastruktur dari India, Gautam Adani, 60, pula berada di tempat ketiga dengan nilai kekayaan bersih sebanyak AS$122.4 bilion (RM538.50 bilion), naik satu anak tangga daripada kedudukan keempat pada Julai tahun lalu.

Beliau ialah pengasas dan pengerusi Kumpulan Adani iaitu sebuah konglomerat multinasional dengan perniagaan merangkumi sektor tenaga, perlombongan, pelabuhan dan lapangan terbang.

Adani memiliki pelabuhan komersial terbesar di India dan mempunyai kepentingan saham Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai yang merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di negara itu.

Bilionair Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett, 92, adalah orang keempat terkaya di dunia dengan nilai kekayaan bersih AS$109.3 bilion (RM480.3 bilion) dan beliau juga memiliki firma Berkshire Hathaway dan berpuluh-puluh syarikat lain seperti Duracell, syarikat insurans Geico serta rangkaian restoran Dairy Queen.

Pengerusi dan pengasas syarikat Amazon, Jeff Bezos, 58, dari AS ialah orang kelima terkaya di dunia, demikian menurut Senarai Bilionaire Forbes dengan nilai bersih semasa syarikat gergasi itu ialah AS$108.4 bilion (RM476.69 bilion).

Tempat keenam milik Larry Ellison, 78, dari AS yang merupakan pengasas syarikat gergasi perisian, Oracle dan mempunyai nilai kekayaan bersih sebanyak AS$104.9 bilion (RM461.30 bilion).

Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates, 67, dari AS ialah individu ketujuh terkaya di dunia dengan nilai bersih kekayaan semasanya mencecah AS$102.3 bilion (RM449.86 bilion).

Seorang lagi warga India, Mukesh Ambani, 65, yang merupakan pengasas dan Pengerusi Reliance Industries di negara itu muncul orang kelapan terkaya di dunia dengan nilai kekayaan bersihnya berjumlah AS$88.1 bilion (RM387.42 bilion).

Ahli perniagaan Mexico, Carlos Slim Helu, 82, dan keluarganya menduduki tangga kesembilan dengan nilai kekayaan bersih sekitar AS$83 bilion (RM364.99 bilion).

Tempat kesepuluh ialah milik pengasas bersama dan ahli lembaga pengarah Google, Larry Page, 49, dengan nilai kekayaan bersih AS$77.3 bilion (RM339.93 bilion).

Baca Lagi:
Lelaki terkejut kena kompaun tak masuk akal RM1,000 dari MPK
Jutawan mengamuk keluarkan semua duit simpanan selepas ditegur pegawai bank
Puteri Sarah Liyana: Ini latar belakang wanita terkenal di Malaysia sekarang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *