Boleh kerja di syarikat produk Israel berdasarkan hukum darurat – Mufti Pulau Pinang. Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati masyarakat Islam supaya menunjukkan semangat setiakawan dan simpati terhadap penderitaan saudara seagama di Palestin yang boleh ditunjukkan dengan memboikot mana-mana syarikat dan produk berkaitan Israel.
Wan Salim berkata, rakyat Palestin kini diserang secara membabi buta oleh regim Zionis dengan menjadikan masyarakat awam tidak bersenjata sebagai sasaran.
“Ribuan rakyat Palestin terkorban dan menjadi mangsa kekejaman penjajah Israel. Apakah rakyat Malaysia tidak mahu menunjukkan simpati terhadap penderitaan dialami mereka akibat kekejaman dan kezaliman musuh yang tidak berperi kemanusiaan ini dengan melakukan sedikit pengorbanan?
“Cuba bayangkan bagaimana perasaan kita jika terpaksa menghadapi ujian dan musibah seperti mana yang menimpa rakyat berkenaan?” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai kempen boikot produk dan syarikat yang berkaitan dengan Israel, sehingga memberi kesan kepada pendapatan pekerja tempatan.
Mengulas lanjut Wan Salim berkata, sekiranya tiada peluang pekerjaan lain dan hanya syarikat produk Israel sahaja menjadi sumber pendapatan yang ada, maka orang Islam dibenar bekerja di situ berdasarkan hukum darurat.
“Namun di Malaysia terdapat banyak peluang pekerjaan yang tersedia, hanya perlu rajin mencarinya. Dengan memboikot produk syarikat berkenaan sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada pemilik syarikat itu bahawa rakyat Malaysia adalah pencinta keamanan dan kedamaian.
“Rakyat negara ini juga membenci kekejaman, tidak kira pihak mana pun yang melakukannya. Semoga Allah SWT menambahkan rezeki-Nya kepada rakyat serta mengurniakan keselamatan dan keamanan berkekalan kepada negara,” katanya.