Boleh ke bawa daging korban keluar dari kawasan atau negeri?, ini penjelasan agamawan yang ramai tak tahu

Photo of author

By Joe

Boleh ke bawa daging korban keluar dari kawasan atau negeri?, ini penjelasan agamawan yang ramai tak tahu. DAGING korban akan mula diedarkan pada Hari Raya Aidiladha selepas proses penyembelihan dilakukan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Bagaimanapun, mungkin timbul persoalan dalam kalangan individu yang melakukan korban tentang pengagihan daging sama ada boleh dibenarkan dibawa keluar dari kawasan (mukim) atau negeri ia dikorbankan?

Kebiasaannya menjadi tuntutan kepada umat Islam pada setiap tanggal 10 Zulhijjah meraikan Hari Raya Aidiladha sekali gus menyempurnakan ibadah korban sesuai sunnah Nabi Ibrahim AS.

Umumnya definisi ibadah korban ialah (udhhiyyah) iaitu binatang ternakan yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT pada Hari Raya Haji dan tiga hari Tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Boleh ke bawa daging korban keluar dari kawasan atau negeri?, ini penjelasan agamawan yang ramai tak tahu

ALLAH SWT memerintahkan ibadah korban seperti mana firman-NYA dalam surah al-Kauthar: 2 yang bermaksud:

“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur”.

Perlu diingatkan, daging korban terbahagi kepada dua jenis iaitu korban wajib dan kedua korban sunat.

1-Korban wajib adalah ibadah yang diwajibkan kepada seseorang disebabkan janjinya dengan ALLAH SWT atau manusia untuk berbuat demikian seperti korban nazar. Daging korban nazar haram dimakan oleh pemilik dan ahli keluarganya.

Jika seorang daripada mereka telah termakan daging itu, maka pemilik daging korban berkenaan wajib mengganti kembali daging yang telah dimakannya sama ada dengan zat daging atau dengan nilaiannya.

2-Sementara korban sunat pula, dagingnya halal dimakan oleh pemilik dan ahli keluarganya. Bagaimanapun, adalah lebih afdal jika daging itu dibahagikan kepada tiga bahagian sebelum ia dimakan.

SATU PERTIGA UNTUK DIMAKAN OLEH PEMILIK DAN AHLI KELUARGA, SATU PERTIGA LAGI DISEDEKAHKAN KEPADA FAKIR MISKIN MANAKALA SATU PERTIGA SELEBIHNYA DIHADIAHKAN KEPADA SAHABAT HANDAI SEPERTI JIRAN TETANGGA, RAKAN TAULAN SAMA ADA MISKIN ATAU KAYA.

Bagaimanapun timbul persoalan yang bermain di minda dalam kalangan individu yang melakukan korban tentang pengagihan daging sama ada dibenarkan untuk dibawa keluar dari kawasan (mukim) atau negeri ia dikorbankan.

Menurut Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, mengikut ulama mazhab Syafie, tidak semua daging korban haram boleh dipindahkan dari kawasan seseorang itu bermukim.

“Yang dimaksudkan daging yang haram dipindahkan adalah bahagian daging wajib disedekahkan kepada fakir atau miskin.

“Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Syato al-Bakri di dalam karyanya Iʿānat al-Ṭālibīn:

ويمتنع نقلها أي الأضحية مطلقا سواء المندوبة والواجبة والمراد من المندوبة: حرمة نقل ما يجب التصدق به منها

Maksudnya: Dilarang memindahkannya, iaitu daging korban sama sekali sama ada korban sunat atau wajib, dan maksud korban yang sunat ialah haram memindahkan daging yang wajib disedekahkan daripadanya,” katanya.

Selain itu, Dr Syed Shahridzan Syed turut menjelaskan bahawa menurut mazhab Syafie, wajib disedekahkan daging korban sunat yang mentah walaupun sedikit kepada fakir atau miskin iaitu individu yang melakukan korban tidak boleh makan atau ambil kesemuanya.

Jika tidak, ibadat korban dianggap tidak sah dan hanya menjadi sedekah biasa sahaja. Hal ini dinyatakan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj:

وَالأَصَحُّ وُجُوبُ التَصّدُّقِ بِبَعْضِهَا وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِن لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْه الإِسْم عَلَى الفُقَرَاءِ

Maksudnya: Menurut pendapat yang muktamad, wajib sedekah sebahagiannya (daging korban) walaupun dengan bahagian yang sedikit daripada dagingnya yang mana ia boleh dianggap sebagai penamaan sedekah kepada fakir miskin.

“Kadar yang wajib disedekahkan ialah menurut kadar yang sesuai dan masuk akal walaupun untuk seorang yang miskin sekalipun. Sebagai contoh sedekah setengah kilogram daging kepadanya.

“Sebahagian ulama mazhab Syafie meletakkan piawaian kadar daging yang wajib disedekahkan ialah kadar yang boleh mengenyangkan seorang fakir miskin,” katanya.

Diharapkan penerangan ini membantu anda khususnya kaum Hawa yang bakal melangsungkan ibadah korban tidak lama lagi.

Sumber: Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil

Baca Lagi:
Senarai spesis dan baka lembu paling mahal di dunia, no.1 baka lembu paling bosan hidupnya
Larangan bagi orang yang masuk ibadah korban yang ramai tak tahu
Remaja 17 tahun maut ditembak polis ketika diarah berhenti kereta