Biodata penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hobi dan minat buat ramai tak sangka

Photo of author

By Joe

Biodata penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hobi dan minat buat ramai tak sangka. Berikut adalah biodata rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim yang terkenal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, berdasarkan maklumat dari Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office).

Sultan Ibrahim dilahirkan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor dan merupakan anak sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah.

PENDIDIKAN

Biodata penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hobi dan minat buat ramai tak sangka

Seri Paduka Baginda menerima pendidikan awal di Taman Didikan Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam di Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1), juga di Johor Bahru.

Pada tahun 1968 hingga 1970, Sultan Ibrahim meneruskan pelajarannya di Trinity Grammar School, Sydney, Australia sebelum melanjutkan pendidikan menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari tahun 1971 hingga 1975. Baginda juga menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

Untuk menjadi seorang raja yang dihormati dan berwibawa, Seri Paduka Baginda melanjutkan pengajian di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat, dan menamatkan dua kursus – Southeast Asian Strategic Studies dan International Law of the Seas.

KETENTERAAN

Seri Paduka Baginda memulakan latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, Johor, dan kemudian menyertai latihan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat. Baginda juga menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.

Dengan semangat ketenteraan yang tinggi, Sultan Ibrahim meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder. Baginda telah melakukan 19 terjunan payung, termasuk lapan pada waktu malam.

Sultan Ibrahim kemudiannya dipilih dan ditauliahkan sebagai komando dan juga sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara). Sebelum dilantik sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia, Seri Paduka Baginda telah menjalani beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia.

Bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sultan Ibrahim menjalani latihan sebagai juruterbang helikopter dan dianugerahkan sayap pada 26 April 1982 oleh Almarhum Sultan Iskandar. Baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, yang melengkapkan kemahiran sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang terlatih.

PERKHIDMATAN DENGAN KERAJAAN NEGERI

Sultan Ibrahim telah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor di pelbagai jabatan untuk memahami aspek-aspek pengurusan dan pentadbiran negeri.

PELANTIKAN SEBAGAI TUNKU MAHKOTA JOHOR

Pada 3 Julai 1981, Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor.

PELANTIKAN SEBAGAI PEMANGKU RAJA JOHOR

Dari 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Sultan Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja Johor semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

ISTERI DAN ANAK-ANAK

Pada 22 September 1982, Seri Paduka Baginda berkahwin dengan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah, dan dikurniakan lima putera dan seorang puteri: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

MINAT DAN HOBI

Sultan Ibrahim, yang juga kakanda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, meminati pelbagai jenis masakan dan pandai memasak. Baginda juga memiliki kemahiran dalam permotoran dan aktiviti air.

KEPERIBADIAN

Sifat dekat dengan rakyat mendorong Sultan Ibrahim untuk mengilhamkan program Kembara Mahkota Johor sejak menjadi Tunku Mahkota Johor. Baginda juga turun padang dengan cepat ketika berlaku bencana, seperti banjir, untuk melihat sendiri situasi sebenar dan memberi sokongan kepada rakyat Johor.

Sultan Ibrahim juga aktif memberi pendapat tentang isu-isu seperti kebersihan dan alam sekitar. Baginda sering memberikan bantuan kotak makanan dan beras kepada golongan miskin, menunjukkan keprihatinan terhadap kenaikan kos sara hidup yang memberi tekanan kepada rakyat.

Dalam memberi bantuan kepada rakyat, Sultan Ibrahim sering singgah di gerai dan kedai makan di seluruh daerah di Johor.

Sultan Ibrahim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan akan bersemayam di Istana Negara selama lima tahun, bermula hari ini.

MINAT KOLEKSI TONGKAT

Sultan Ibrahim mengumpulkan lebih 200 tongkat kayu dengan pelbagai reka bentuk dan saiz yang dihasilkan oleh pembuat tempatan. Setiap tongkat dalam koleksi baginda mempunyai lambang khas ‘SI’ yang melambangkan Sultan Ibrahim. Tongkat-tongkat ini diperbuat daripada kayu cendana, giam, papan lantai kayu istana-istana lama, dan kayu landasan kereta api.

Baca Lagi:
Suami pukul isteri hingga mati sebab susah nak mandi
Banyak sangat kes orang hilang, ini 5 cara mudah nak pantau keselamatan orang tersayang melalui telefon
“Buah free, siapa nak makan boleh ambil”- Cara pemilik pokok rambutan sedekah buah raih pujian ramai