Bil elektrik melambung tinggi jika kerap buka peti sejuk?, lelaki ini dedah rahsia jimat elektrik. Peti sejuk, televisyen, mesin basuh, dan kipas adalah antara peralatan yang wajib ada di setiap rumah.
Namun, penggunaan peralatan tersebut secara tidak terkawal pasti akan menyebabkan bil elektrik di rumah anda melonjak.
Di TikTok, seorang pencipta kandungan yang dikenali sebagai Abgletriqq telah menjawab soalan netizen mengenai topik ini.
“Betulkah peti sejuk dengan kapasiti kecil lebih jimat tenaga elektrik berbanding peti sejuk dengan kapasiti besar?” tanya seorang individu.
Menurut Abgletriqq, jumlah bil utiliti bukan hanya bergantung pada saiz peralatan elektrik, tetapi juga berkaitan dengan kekerapan penggunaannya.
“Betul, kak. Lagi kecil peti ais, lagi jimat penggunaan tenaga. Bukan sahaja peti ais, barang lain pun sama. Televisyen 55 inci memang lebih jimat berbanding TV 65 inci.
“Mesin basuh 7 kilogram (kg) juga lebih jimat daripada mesin basuh 9 kg. Selain itu, dari segi penggunaan peralatan elektrik itu sendiri, lagi kurang penggunaan, lagi banyak penjimatan yang dapat diperoleh,” jawabnya.
Jelas Abgletriqq, kekerapan membuka pintu peti ais juga menyumbang kepada peningkatan jumlah bil elektrik di sesebuah rumah.
“Kadang-kadang, jiran sebelah menggunakan peti ais yang lebih besar daripada kita, tetapi penggunaan elektrik mereka lebih rendah daripada kita. Kenapa? Kerana penggunaan itu sendiri.
“Mungkin mereka jarang membuka pintu peti ais. Sedangkan, peti ais kita walaupun lebih kecil, tetapi jika sering dibuka, siang malam rumah ada orang, pasti penggunaan elektrik akan lebih tinggi.
“Jadi, akhirnya bukan hanya saiz yang perlu kita pertimbangkan, tetapi juga penggunaan. Perhatikan berapa kali kita membuka pintu peti ais dalam sehari. Lagi banyak kita buka, lagi banyak tenaga elektrik yang digunakan,” katanya.