Bertemu ibu yang terpisah 30 tahun selepas lukis peta

C0ED2796 991A 4D4C B9C4 A234C4F7D50A

Seorang lelaki di China yang diculik lebih 30 tahun lalu bertemu semula dengan ibu kandungnya selepas berjaya melukis peta kampung yang diingat dari zaman kanak-kanak, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

Li Jingwei berusia empat tahun ketika diculik dari rumahnya dan dijual kepada kumpulan pemerdagangan kanak-kanak.

Pada 24 Disember lalu, dia berkongsi peta yang dilukis menggunakan tangan pada aplikasi perkongsian video, Douyin yang kemudian dipadankan polis dengan sebuah perkampungan kecil dan seorang wanita yang kehilangan anaknya.

Selepas menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA), kedua-dua beranak itu disatukan semula di wilayah Yunnan, semalam.

Menerusi rakaman video pertemuan semula itu, selepas Jingwei membuka pelitup muka, ibunya dilihat berhati-hati memeriksa wajahnya sebelum menangis dan memeluknya.

“Tiga puluh tiga tahun menanti, akhirnya, inilah saat yang paling ditunggu-tunggu selepas 13 hari berkongsi peta yang dilukis dengan tangan,” tulis Jingwei pada profil Douyin miliknya.

Jingwei telah diculik berhampiran bandar Zhaotong di wilayah Yunnan pada 1989 dan dijual kepada sebuah keluarga yang tinggal di lokasi lebih 1,800 kilometer.

Dia yang kini menetap di wilayah Guangdong di selatan China tidak berjaya mendapatkan maklumat asal usul melalui ibu bapa angkatnya atau dari pangkalan data DNA, lalu beralih ke internet. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published.