Bermula dengan modal RM400, anak Baling kini jadi jutawan selepas bina Adam Tyres. Bermula daripada idea untuk menjana pendapatan tambahan bagi keluarga, Saiful Azahar Abdul Halim, 32, kini boleh berbangga apabila perniagaannya dalam tayar terpakai telah mencapai nilai jualan lebih sejuta ringgit setiap bulan.
Saiful Azhar, yang merupakan anak kelahiran Baling, Kedah, adalah pemilik perniagaan kedai tayar, Adam Tyres, yang kini beroperasi dengan empat cawangan bengkel dan enam gudang penyimpanan di Selangor, Perak, dan Kedah.
Berkongsi, Saiful menceritakan bahawa idea untuk memulakan perniagaan tayar terpakai ini timbul secara tidak sengaja pada tahun 2011 ketika dia sedang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat penghantaran di Shah Alam, Selangor.
Pada waktu itu, dia yang baru memasuki usia awal 20-an sedang mencari cara untuk menambah pendapatan sampingan bagi mengumpul wang untuk mendirikan rumah tangga bersama teman wanitanya yang kini telah menjadi isterinya.
“Masa itu, saya memang minat dengan kereta. Ada sekali tu, saya nak tukar tayar kereta. Ketika itu, tayar kereta baru memang mahal. Jadi, saya pun pergi ke sebuah bengkel di Klang untuk menukar tayar.
“Selepas selesai menukar tayar, semua tayar lama itu saya bawa balik. Bila dah bawa balik, saya terfikir nak buat apa dengan tayar-tayar itu, sebab keadaannya masih boleh digunakan.
“Jadi, saya masuk Facebook dan cuba jual di situ. Tak sampai 10 minit saya letakkan iklan, dah ada orang berminat nak beli dan saya pun terus buat penghantaran kepada pelanggan pertama saya waktu itu,” ujarnya ketika ditemui di gudangnya yang terletak di Shah Alam, Selangor.
Pada waktu itu, Saiful berkata dia menjual empat biji tayar terpakai tersebut pada harga RM50 setiap satu.
Menyedari wujudnya permintaan yang tinggi terhadap tayar terpakai, dia mula mengorak langkah dengan bermodalkan RM400 untuk mencari lebih banyak tayar terpakai untuk dijual di Facebook dan membuat penghantaran menggunakan keretanya kepada pelanggan.
Menurut Saiful, untuk mendapatkan lebih banyak stok tayar, dia juga pergi ke beberapa bengkel kereta lain di sekitar Lembah Klang untuk mendapatkan tayar terpakai. Pada masa yang sama, dia sepenuhnya menggunakan Facebook untuk memasarkan tayar terpakai yang dijualnya.
“Jadi, permintaan itu ada setiap hari. Kalau sekali hantar, memang penuh kereta saya dengan 40 hingga 50 tayar kereta.
“Lagipun waktu itu penjual Bumiputera tak ramai. Memang seronok sebab dapat untung sampingan setiap minggu. Sampai satu masa, saya boleh buat dalam RM7,000 seminggu,” ujarnya.
Bermula daripada situ, Saiful mula merangka cara untuk mengumpul modal bagi membuka kedai bengkel tayar kereta.
“Sebab saya fikir waktu itu, tayar ini memang barang keperluan. Tak kira kereta murah atau kereta mahal, kedua-duanya memang perlu beli tayar,” ujarnya.
Dalam tempoh tiga tahun, dengan hanya bergerak sendiri dan berbekalkan sebuah kereta Proton Persona miliknya, perniagaan tayar terpakai yang diusahakannya mula mendapat nama dan berkembang dengan pantas.
Pada 2013, dia juga mengambil keputusan untuk menyewa satu unit kedai kecil di Padang Jawa, Shah Alam untuk dijadikan stor simpanan stok tayar terpakainya.
“Bila dah buka kedai, waktu tidur pun jadi tak menentu. Sebabnya bila habis kerja, saya terus pergi ke stor, isi barang dalam kereta untuk penghantaran.
“Kemudian bila dah ada stor, saya kena fikir pula cara untuk pastikan stok tayar sentiasa ada. Jadi saya kena bergerak cari lebih banyak bengkel kereta. Kalau dulu di sekitar Shah Alam, sekarang saya kena masuk kawasan Kuala Lumpur juga,” ujarnya.
Menyedari peningkatan komitmen tersebut, Saiful akhirnya membuat keputusan untuk berhenti kerja tetapnya dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap perniagaan yang diusahakan.
Namun, dia menghadapi kerugian RM30,000 akibat ditipu.
Dalam usaha untuk mengembangkan perniagaannya, Saiful berdepan dengan cabaran besar apabila mengalami kerugian hampir RM30,000 pada tahun 2015 selepas ditipu dalam satu urus niaga untuk mendapatkan bekalan stok tayar terpakai dari Singapura.
Menurutnya, kualiti stok tayar yang diterima tidak seperti yang dijanjikan oleh pembekal.
Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut tidak melunturkan semangat Saiful untuk meneruskan perniagaannya.
“Bila saya kena tipu, saya tidak terlalu risau sebab saya tahu bagaimana untuk bangkit semula dari bawah, memandangkan saya bermula dengan hanya modal RM400. Lainlah jika saya mula perniagaan dengan pinjaman bank RM200,000.
“Jika berlaku apa-apa termasuk ditipu seperti ini, susah juga untuk saya fikir bagaimana nak bangkit kecuali menunggu bantuan bank. Jadi, kelebihannya jika kita mula bisnes dengan modal yang kita ada sendiri,” ujarnya.
Selepas peristiwa itu, Saiful berkata dia mengakui perlunya melipat gandakan usaha untuk menebus kembali kerugian yang dialami. Pada masa yang sama, selepas lebih lima tahun bergerak sendirian, dia mula mengambil penjual sambilan untuk meningkatkan lagi jualan stok tayar terpakai yang dimilikinya.
“Jadi, jualan saya waktu itu daripada 500 biji sudah boleh meningkat kepada ribuan biji,” ujarnya.
Pembukaan Kedai Pertama Kena Gelak
Selepas berjaya mengumpulkan modal yang mencukupi, Saiful akhirnya membuat keputusan untuk membuka kedai bengkel kereta pertamanya yang beroperasi di kampung isterinya, iaitu Grik, Perak pada tahun 2017 dengan modal RM20,000.
Menurutnya, pemilihan lokasi itu dibuat dengan mengambil kira kos sewaan yang lebih murah berbanding di Shah Alam serta jangkaan permintaan terhadap tayar terpakai di kawasan tersebut.
Keputusannya untuk menyewa premis yang hanya bersaiz separuh daripada satu unit kedai turut mendapat pandangan sinis daripada orang ramai.
“Kedai yang saya sewa itu, orang gelakkan saya sebab saiznya kecil. Kita biasa lihat kedai gunting rambut yang hanya menyewa separuh daripada satu unit kedai. Itulah premis pertama yang saya sewa untuk buat kedai tayar,” ujarnya.
Bagaimanapun, Saiful berjaya membuktikan kepada mereka yang memandang rendah kepadanya apabila kedainya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk sekitar.
Menurut Saiful, kejayaan tersebut banyak dibantu oleh beberapa strategi dan promosi yang telah dijalankan beberapa bulan sebelum hari pembukaan kedai.
“Kalau orang cakap buka kedai mesti kena gah dan mewah, itu silap. Dalam kes saya, orang datang bukan kerana kedai saya, mereka datang untuk beli tayar. Kalau kedai cantik tapi barang tak berkualiti, orang tak akan masuk. Betul tak?
“Yang penting adalah servis yang baik dan barang yang berkualiti. Jika itu ada, orang pasti akan datang. Pada hari pertama, saya memang terkejut. Bukan satu atau dua kereta, tetapi lebih daripada 30 kereta yang datang,” ujarnya.
Saiful berkata, dengan beroperasi bersama tiga pekerja, jualan pada hari pertama pembukaan kedai bengkel mencecah RM8,000.
Bertitik tolak dari kejayaan kedai pertamanya, Saiful terus mengembangkan perniagaannya dengan membuka lebih banyak kedai, termasuk di kampung halamannya di Baling, Kedah setahun kemudian.
Adam Tyres, yang dinamakan sempena nama anak pertamanya, kini telah memiliki empat cawangan kedai dan enam gudang penyimpanan tayar terpakai yang terletak di Selangor, Perak, dan Kedah.
Perkhidmatan Adam Tyres juga tidak terhad kepada tayar kereta sahaja; ia kini turut menawarkan tayar untuk lori dan pelbagai jenis kenderaan berat.
Pada masa yang sama, sejak 2019, syarikatnya yang kini mempunyai kira-kira 60 orang pekerja untuk membantu dalam operasi perniagaan.