Berkat guna duit sumbangan orang kampung ke Olimpik, lelaki ini bawa pulang pingat emas pertama dalam tempoh 32 tahun. Arshad Nadeem menghadiahkan emas pertama Pakistan di Sukan Olimpik selepas 32 tahun dengan kemenangan dalam acara rejam lembing lelaki yang berlangsung di Stade de France pada Jumaat.
Perejam berusia 27 tahun itu memenangi acara tersebut dengan mencatatkan rekod Olimpik 92.97 meter (m), mengatasi juara bertahan dari India, Neeraj Chopra yang meraih pingat perak dengan 89.45m. Atlet Grenada, Anderson Peters, pula merangkul gangsa dengan 88.54m.
Namun, terdapat kisah menarik di sebalik kejayaan ini, di mana Arshad layak ke Paris menggunakan dana sendiri yang diperoleh melalui sumbangan daripada orang kampungnya.
Arshad melakukan persiapan ala kadar untuk ke Paris kerana tidak mampu membeli peralatan, tiada fasiliti latihan, dan tidak mendapat tajaan daripada kerajaan.
Bapanya, Muhammad Ashraf, memberitahu bahawa orang kampung bergotong-royong mengumpul dana untuk membolehkan Arshad meneruskan latihan demi impian meraih pingat di Olimpik Paris.
“Orang ramai tidak tahu bagaimana Arshad sampai ke tahap ini. Bagaimana rakan sekampung dan saudara-mara sering menyumbang wang supaya dia dapat pergi ke bandar-bandar lain untuk latihan dan menyertai pertandingan,” katanya.
Awal tahun ini, Arshad membuat rayuan di media sosial untuk mendapatkan lembing baharu bagi latihan, dan perkara itu menarik perhatian Neeraj Chopra, sekaligus membuktikan semangat kesukanan kedua-dua atlet tersebut.
Karier Arshad berkembang dengan ketara sejak kemunculannya di pentas dunia, walaupun menghadapi pelbagai cabaran, termasuk masalah pada siku, lutut, dan belakang yang memerlukan pembedahan pada tahun lalu.
Sebelum kemenangan mengagumkan Arshad di Paris 2024, Pakistan tidak pernah memenangi pingat emas individu dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
Ketiga-tiga pingat emas Pakistan sebelum ini diperoleh dalam sukan hoki lelaki, dengan pasukan mereka memenangi emas pada tahun 1960, 1968, dan 1984.