Beras tempatan kurang, ini kerajaan patut lakukan

Photo of author

By Joe

Beras tempatan kurang, ini kerajaan patut lakukan. Jaminan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa bekalan beras stok dagangan sebanyak 650,000 tan mencukupi bagi menampung keperluan bagi tempoh empat hingga lima bulan, masih belum menjawab isu kekurangan bahan asas itu di pasaran seperti dihadapi penjual dan dirasai pengguna sekarang.

Apatah lagi ia berlaku dalam tempoh tidak lama selepas harga jualan beras putih import seluruh negara dinaikkan daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan sejajar harga terkini di pasaran antarabangsa hingga menimbulkan dakwaan wujud elemen manipulasi apabila ada pihak menukar bungkusan atau label beras untuk menahan lukah di penggentingan.

Hakikatnya, isu kekurangan bekalan beras tempatan dan kenaikan harga beras import bukan sahaja menjejaskan rakyat yang bergelut menghadapi peningkatan kos sara hidup, bahkan memberikan tekanan kepada pengusaha restoran, kedai makan serta warung yang menyediakan Menu Rahmah, selain menimbulkan tanda tanya keutuhan keselamatan makanan negara.

Beras tempatan kurang, ini kerajaan patut lakukan

Apatah lagi Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) KPKM, Datuk Azman Mahmod menjangkakan ia dapat diatasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini berdasarkan langkah penyelesaian, tetapi tempoh itu sebenarnya lama, terutama bagi isi rumah tidak memiliki lebihan pendapatan bulanan.

Kita meyakini KPKM tidak boleh menyelesaikan isu ini secara sendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama padu dengan kementerian lain, terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, selain memastikan mekanisme penyelesaian lebih menyeluruh dan segera.

Dalam konteks ini, kita meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan pelantikan menteri baharu susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub hampir dua bulan lalu kerana ia membabitkan kepentingan dan keperluan asas rakyat, selain membabitkan pelbagai pemegang taruh serta rantaian bekalan yang kompleks.

Pada masa sama, kita meminta kerajaan negeri untuk mencontohi Melaka yang akan menubuhkan jawatankuasa khas menangani isu kekurangan beras tempatan dengan memanggil KPDN Melaka dan KPB negeri bagi mencari penyelesaian, termasuk memantau pengeluaran beras serta kegiatan menyorok bekalan itu, selain bakal mewujudkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP).

Malah, kita memuji tindakan kerajaan Terengganu mengeluarkan jenama beras sendiri pada saat tepat melalui pembelian beras daripada beberapa kilang padi untuk proses pembungkusan sebelum dibekalkan kepada pengedar tunggal untuk dipasarkan.

Namun, kita berpandangan usaha mengatasi isu keselamatan makanan sebegini tidak boleh dilakukan bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, sebaliknya kerjasama merentas kementerian dan agensi serta pembabitan semua kerajaan negeri diperlukan kerana membabitkan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Malah, kita mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya mewujudkan ‘naratif pertanian termaju’ di bawah Ekonomi MADANI untuk meningkatkan pertanian dan sektor agromakanan jangka panjang serta berfasa, termasuk memanfaatkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan IR5.0.

Baca Lagi:
Adly Zahari bakal dilantik menteri KPDN ganti Allahyarham Salahuddin Ayub – Sumber
Bapa sanggup bayar RM100k untuk anak bermain bola 10 minit dengan kelab Eropah
Akhirnya dapat jawapan dari pakar kenapa minyak kereta cepat habis