Bengkel kereta ini viral selepas pomen jujur repair kereta, ‘dekat kedai lain semua suruh tukar 1 set’. Pemilik kereta pasti pernah berhadapan dengan situasi ‘kena ketuk’ dengan bengkel kereta, terutamanya bagi individu yang kurang mahir tentang kenderaan. Walaupun begitu, masih terdapat bengkel yang menjalankan perniagaan dengan jujur tetapi mungkin tidak diketahui ramai.
Itulah yang dikongsikan oleh seorang pengguna kereta, Amal. Dalam perkongsiannya, beliau terkesan dengan mekanik yang berpegang teguh pada prinsip rezeki yang datang daripada Allah.
“Ada perasaan campur baur tengok mekanik kereta yang jujur dalam menjalankan kerja. Saya datang dengan masalah absorber, dan 2-3 bengkel mengesyorkan untuk menukar keseluruhan set belakang. Tetapi apabila saya berjumpa dengan mekanik ini, beliau hanya menukar bushing dengan harga berapa puluh ringgit sahaja dan masalah selesai. Tetapi saya rasa kasihan kerana jualan mereka menjadi rendah.
“Mereka berkata, ‘Tak apa, rezeki itu datang daripada Allah’,” tulis Amal.
“Tapi kalau difikirkan semula, mungkin mereka sanggup melepaskan keuntungan besar demi mendapat rezeki yang lebih berkat. Dengan memenangi kepercayaan orang ramai, mungkin pelanggan akan kembali lagi. Ini mungkin juga teguran dan peringatan dari Allah untuk saya dalam mencari rezeki ini,” tambah Amal.
“Benar, rezeki datang dari Allah,” perkongsian Amal telah mendapat lebih 19,000 suka dan 8,200 retweet di X, menunjukkan banyaknya pencarian dan sokongan terhadap bengkel tersebut.
Amal turut berkongsi nombor telefon pomen tersebut yang dikenali sebagai Abang Wadie. Namun, selepas perkongsian ini menjadi viral, Abang Wadie menerima ratusan mesej daripada orang ramai dan tidak mampu menjawab setiap mesej satu persatu.
“Saya memohon maaf bagi pihak Abang Wadie jika ada mesej yang terlepas pandang dan tidak sempat untuk menjawab setiap tawaran sebab terlalu banyak mesej yang masuk hari ini,” tulis Amal.
Rata-rata netizen turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Abang Wadie, serta mengakui bahawa ini adalah balasan dari kerja yang jujur, dengan mendapat berkat yang tidak disangka-sangka. “Sangat sukar untuk mencari kedai yang jujur dalam urusan servis, semoga Allah memberkati pemilik seperti ini dengan rezeki yang melimpah,” komen Hilmi.
Tidak kurang juga pengguna X yang berkongsi senarai bengkel kereta lain yang menawarkan servis yang baik dan harga berpatutan mengikut kawasan masing-masing. Anda boleh membacanya di sini Adakah anda mempunyai pengalaman baik atau kurang baik dengan mana-mana bengkel sebelum ini? Kongsi pengalaman anda di ruangan komen.