Bekas juruterbang Nuri tak sangka menang RM1 juta. “Mungkin kerana saya telah mewakafkan RM1,000, hari ini Allah gandakan jadi RM1 juta,” kata Mohd Azhar Mohd @ Man, 53.
Pemegang akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) dari Guar Chempedak, Yan itu, hari ini diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) ke-102 pada majlis yang dihadiri Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.
Menurut bekas juruterbang pesawat Nuri itu, sebelum ini ada seorang ustaz meminta bantuannya untuk membayar RM5,000 kepada kontraktor yang membina pagar sebuah sekolah agama.
“Ini kerana individu yang asalnya mahu mewakafkan pagar tersebut telah meninggal dunia. Akaun bank saya ketika itu hanya berbaki RM1,000, tetapi saya terus pindahkan wang berkenaan ke akaun untuk membayar duit pagar yang dibina.”
“Baki RM4,000 lagi, saya beritahu ustaz akan bayar kemudian. Tak sangka, mungkin kerana saya mewakafkan RM1,000 itu, hari ini Allah gandakan jadi RM1 juta,” kata pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tersebut.
Menurutnya, dia tidak pernah terfikir atau menyangka bahawa dia akan menang RM1 juta hasil menabung secara konsisten bersama BSN sejak tahun 2000. Sebaliknya, dia hanya mensasarkan hadiah kereta ketika mula menyertai Sijil Simpanan Premium (SSP).
“Adakalanya saya akan mengeluarkan semula duit SSP, tetapi saya akan pastikan selepas itu, saya menyimpan semula secara konsisten. Alhamdulillah kali ini rezeki saya.
“Sebelum ini, saya pernah menang beberapa kali, tetapi hadiahnya cuma beberapa ratus ringgit. Kali ini, apabila dimaklumkan saya menang RM1 juta, mulanya saya sangka ia penipuan dalam talian. Sehinggalah dihubungi pegawai BSN, barulah saya percaya,” katanya.
Katanya, rezeki itu akan digunakan sebaiknya, termasuk berkongsi dengan isteri dan anak-anak sebagai simpanan masa depan mereka, melunaskan hutang dengan bank, termasuk pinjaman perumahan, serta membawa keluarga menunaikan umrah.
Mohd Azhar yang kini bertugas secara kontrak sebagai jurulatih simulator helikopter di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, berharap orang ramai tidak berputus asa untuk terus menabung seperti dirinya.
“Nasihat saya kepada penyimpan adalah untuk terus konsisten. Selain itu, sebagai orang Islam, bersedekah adalah amalan yang baik untuk menarik rezeki. Pada masa yang sama, perlu bersangka baik dengan Allah.
“Buat solat sunat dhuha, bukan hanya untuk rezeki sahaja, tetapi juga untuk memudahkan urusan kita,” katanya.