Batu Panggah di Borneo Highland mirip wajah manusia, rupanya ada kisah yang ramai tak tahu. Batu Panggah adalah sebuah tempat menarik yang terletak di Borneo Highland, Sarawak.
Selain daripada itu, di sekitar kawasan Batu Panggah terdapat pelbagai aktiviti luar yang menarik seperti berjalan di trek hutan, melawat air terjun berdekatan, dan menikmati keindahan alam semula jadi kawasan Borneo Highland.
Difahamkan, Panggah bermaksud Rumah Kepala. Jadi, secara harafiahnya, adakah Batu Panggah merujuk kepada Batu Rumah Kepala? Macam mana tu ya? Dari mana Batu Panggah ini mendapat namanya?
Kisah cinta pasangan dari dua kampung bermusuhan
Menurut kisah-kisah lama, Batu Panggah merupakan lambang kisah cinta terlarang antara dua insan. Kononnya, pada suatu ketika dahulu, terdapat dua buah kampung yang saling bermusuhan sehinggakan tiada seorang pun daripada mana-mana penduduk boleh menjejakkan kaki ke sempadan kampung yang lain.
Namun begitu, akhirnya terdapat seorang lelaki dan perempuan yang saling jatuh cinta antara satu sama lain.
Suatu hari, kisah cinta mereka sampai ke pengetahuan Tuai Rumah (ketua kampung) di kampung mereka. Maka, suatu perintah telah dikeluarkan yang memberi arahan agar menangkap pasangan kekasih ini sama ada hidup atau pun mati.
Demi cinta, pasangan ini nekad melarikan diri
Mendengarkan arahan tersebut, pasangan kekasih ini telah nekad untuk melarikan diri. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka kerana semasa mereka melarikan diri, hujan lebat telah turun mencurah-curah membasahi bumi.
Akibat hujan yang amat lebat, maka kedua pasangan bercinta ini telah mengambil keputusan untuk mendapat perlindungan di sebuah rumah kayu.
Tetapi, rumah yang dimasuki mereka bukanlah sebarangan rumah kerana ia merupakan sebuah rumah yang digelar Rumah Kepala. Rumah Kepala ini dikatakan menjadi tempat penyimpanan kepala dan tengkorak sebagai simbol kemenangan.
Tambahan pula, legenda telah mengatakan bahawa orang perempuan serta kanak-kanak adalah dilarang sama sekali daripada memasuki rumah tersebut.
Akibat daripada itu, kilat telah menyambar tepat ke Rumah Kepala lalu menukarkannya menjadi sebuah batu yang amat besar serta mempunyai wajah persis berwajah manusia.
Alam turut tidak merestui hubungan mereka
Sejurus panahan kilat itu juga, segala pintu keluar daripada rumah tersebut telah ditutup dan kedua-dua pasangan itu terperangkap di dalamnya.
Akhirnya apabila orang kampung sampai ke sana, maka barulah mereka mengetahui bahawa pasangan yang mereka cari rupanya telah memasuki rumah tersebut oleh kerana perubahan fizikal Rumah Kepala tersebut.
Maka, kekallah Rumah Kepala sehingga sekarang menjadi batu yang diberikan nama Batu Panggah.
Batu Panggah menjadi tarikan utama di kawasan ini, menarik para pelawat dari dalam dan luar negara untuk merasai keunikan alam Sarawak dan pengalaman yang tidak dapat ditemui di tempat lain.
Sekiranya anda berpeluang menjejakkan kaki ke Borneo Highland Resorts, jangan lupa untuk melawat serta melihat sendiri keunikan Batu Panggah yang dikatakan mirip seperti wajah seorang manusia.