Basikal WX-R Vorteq milik pelumba negara di Olimpik Paris 2024 berharga hampir separuh juta setiap satu. Tahukah anda, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama membangunkan basikal berteknologi tinggi dengan jumlah pelaburan RM7.5 juta bagi memastikan Malaysia mencapai emas pertama di pentas Olimpik.
Menurut laporan Harian Metro, hasil usaha keras ISN dan MSN, basikal berjenama WX-R Vorteq berjaya dipertingkatkan dengan kelengkapan teknologi terkini berbanding sebelum ini dan telah digunakan oleh pelumba negara di Olimpik Paris kini.
Difahamkan, harga bagi sebuah basikal tersebut adalah RM385,800 setiap satu. Ia diperbuat daripada bahan karbon fiber yang lebih keras tetapi ringan, menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin yang lebih rendah.
Jaguh pecut berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, percaya bahawa dengan adanya basikal berteknologi tinggi ini, dia dan rakan-rakannya mampu memberikan cabaran yang lebih sengit kepada pelumba dari Great Britain dan Jerman di Paris nanti.
Jelasnya, dalam edisi Olimpik sebelumnya, pelumba dari negara-negara tersebut mempunyai kelebihan dari segi teknologi basikal yang digunakan, dan ini memudahkan mereka mengatasi pelumba dari negara lain.
Untuk rekod, pada edisi Olimpik Tokyo 2020 lalu, basikal WX-R Vorteq juga telah dibangunkan dengan kos sebanyak RM13 juta.
Walau bagaimanapun, Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman menyatakan bahawa adanya basikal baru tidak bermakna ia memberi jaminan kemenangan untuk dia dan rakan-rakannya di Olimpik Paris nanti.
“Ramai yang tidak faham dan menganggap bahawa dengan adanya basikal baru, kita akan terus menang. Sebelum ini, kita tidak mempunyai R&D (projek membangunkan) basikal ini, dan kita ketinggalan sedikit berbanding pesaing kita dari Great Britain dan Jerman. Mereka sudah mempunyai keistimewaan dari segi basikal dan teknologi, jadi mereka berada selangkah ke depan.
“Kita mungkin berlatih dengan bersungguh-sungguh, tetapi ketika tiba masa perlumbaan, kita masih ketinggalan, dan itu tidak adil. Namun, sekarang UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) telah memperkenalkan peraturan baru selepas Olimpik Rio (Brazil 2016), yang membenarkan semua basikal terbuka untuk dijual di pasaran dan membolehkan semua pihak melakukan R&D.
“Saya rasa kita patut bangga kerana tidak semua negara melakukannya. Malaysia dan Jepun adalah antara negara yang bersungguh-sungguh dalam mengembangkan serta membantu pelumba mereka. Ini adalah kemajuan dalam teknologi sukan.
“Pada masa kini, kita sudah setanding dari segi teknologi sukan dengan Great Britain, Jerman, dan Jepun. Sekarang, pelumba perlu membuktikan keupayaan mereka kerana ‘engine’ ini akan menentukan kemenangan nanti,” katanya.