Basikal Raleigh Chopper berharga RM120 milik Agong jadi perhatian ramai

Photo of author

By Joe

Basikal Raleigh Chopper berharga RM120 milik Agong jadi perhatian ramai. Basikal Raleigh Chopper yang dibeli oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa zaman kanak-kanaknya menggunakan wang sendiri merupakan salah satu tarikan istimewa dalam Pameran Raja Kita yang bermula hari ini di Muzium Negara.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, berkata basikal tersebut adalah antara koleksi peribadi Seri Paduka Baginda dan dibawa khas dari Johor untuk pameran ini.

Beliau menyatakan bahawa Jabatan Muzium Malaysia sangat teruja kerana Sultan Ibrahim memberi perkenan untuk mempamerkan pelbagai barangan peribadi Seri Paduka Baginda yang mempunyai nilai sejarah dan nostalgia kepada rakyat, termasuk pengunjung antarabangsa.

Basikal Raleigh Chopper berharga RM120 milik Agong jadi perhatian ramai

“Basikal itu adalah salah satu barangan utama yang dibeli oleh Tuanku (Sultan Ibrahim). Pastinya ia mempunyai nilai sentimental kepada Tuanku kerana ia dibeli sendiri oleh Sultan Ibrahim semasa zaman kanak-kanak dengan hasil daripada menjual botol dan besi buruk,” katanya.

Pameran Raja Kita di Galeri 1 dan 2 di Muzium Negara dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang juga merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 semalam.

Pameran ini dibuka kepada orang ramai hingga 29 September dan merupakan sebahagian daripada acara yang diatur bersempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung pada hari Sabtu lalu.

Kisah basikal Raleigh Chopper ini pernah dikongsikan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam catatan Facebook rasmi Sultan Ibrahim pada 11 September 2015. Seri Paduka Baginda menyifatkan basikal tersebut sebagai “cinta pandang pertama”.

Seri Paduka Baginda berkongsi bahawa Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Iskandar Ismail tidak memanjakan anakanda dengan duit, oleh sebab itu Sultan Ibrahim mengambil keputusan untuk berusaha mencari wang sendiri bagi membeli basikal idamannya.

“Saya sendiri tidak berani untuk meminta duit daripada Almarhum. Saya sangat mahukan basikal yang berharga RM120 itu, tetapi tidak berani meminta daripada Almarhum. Jadi, saya berfikir cara mencari duit sendiri untuk membeli basikal Chopper itu,” titah Seri Paduka Baginda.

Selepas tiga bulan mengumpulkan botol dan besi buruk di pekarangan istana dan memperoleh wang daripada penjualan barangan tersebut, Seri Paduka Baginda akhirnya berjaya membeli basikal idamannya.

“Selama tiga bulan, saya kutip botol dan besi buruk di pekarangan istana. Botol dan besi buruk itu saya jual kepada orang karung guni. Satu botol lima sen, satu kati besi buruk tiga sen.

“Rasa sangat puas. Basikal itu saya simpan di dalam bilik tidur dan hari-hari saya polish (gilap). Suatu hari, Almarhum (Sultan Iskandar) bertanya dari mana saya dapat duit untuk beli Chopper itu, dan saya ceritakan. Almarhum tahu saya pandai mencari duit sendiri.

“Apa yang penting ialah hasil titik peluh, inisiatif, dan ketekunan, walaupun terpaksa kutip botol dan besi buruk sekalipun, ia tetap merupakan satu usaha menuju kejayaan,” titah Seri Paduka Baginda dalam perkongsian tersebut.

Selain basikal itu, pameran juga menampilkan motosikal Harley Davidson bercorak belang harimau yang sering digunakan oleh Sultan Ibrahim dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) dan program Minggu Permotoran Malaysia 2013.

Turut menjadi tarikan di pameran tersebut adalah kereta beroda tiga Morgan buatan British yang direka khas untuk KMJ 2017 mengikut spesifikasi Sultan Ibrahim ketika menjelajah ke beberapa daerah di Johor. Kenderaan unik berwarna hijau pucuk pisang ini, yang tidak berpintu dan tanpa bumbung, diletakkan di tengah-tengah galeri pameran yang turut menempatkan beberapa koleksi peribadi lain Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Melalui pameran ini, pengunjung juga berpeluang melihat Mahkota Kerajaan Johor dan Mahkota Permaisuri yang digunakan semasa Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor pada tahun 2015, yang kali pertama dibawa keluar dari negeri tersebut.

Baca Lagi:
Ketua Polis Johor dedah bagaimana Geng JB curi kereta dalam masa 30 saat
Dah tak power macam dulu”, Pasport Malaysia jatuh kedudukan ke-12 dunia
Senarai 5 puncak tertinggi terkenal di Malaysia yang ramai tak tahu