Baru tahu kenapa ada Transformers dalam sambutan Maal Hijrah, ini penjelasan JAKIM. Gimik persembahan istimewa semasa sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M di Putrajaya, semalam, telah mencetuskan perbualan sengit di media sosial.
Kebanyakan pengguna media sosial berpendapat kehadiran dua robot dari filem Hollywood, Transformers, dalam persembahan itu tidak relevan dan tidak menghormati makna sebenar Maal Hijrah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa persembahan tersebut sebenarnya memberi penekanan kepada Tafsir Ilmi Kejadian Langit dan Bumi.
“Konsep persembahan juga menampilkan keindahan langit yang dihiasi dengan galaksi dan sistem suria, yang merupakan fenomena menakjubkan dalam alam semesta.
Kewujudan ini dengan jelas menunjukkan tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Eksplorasi ini dapat merangsang akal untuk mengejar pengetahuan, menguatkan minat, dan meningkatkan pengalaman sebagai sumber inspirasi untuk mengeksplorasi kehidupan dan meningkatkan keimanan diri,” demikian tulis kenyataan rasmi tersebut.
JAKIM juga menjelaskan bahawa konsep persembahan ini juga mengandungi amaran bahawa dalam penciptaan langit dan bumi, manusia seringkali lupa akan kekuasaan Allah SWT sebagai Pencipta semesta.
Mereka menyatakan bahawa kesilapan manusia yang terjerumus dalam arus modenisme sering kali membuat mereka lalai terhadap batasan akal dan hukum alam.
“Sebagai khalifah di muka bumi ini, adalah tanggungjawab kita untuk menjaga alam sekitar dan menguruskan khazanah yang telah dipercayakan oleh Allah SWT kepada kita. Sains dan teknologi bukanlah musuh peradaban, tetapi harus dijalankan dengan bijak untuk mencapai keharmonian.
Konsep persembahan juga menunjukkan bahawa kemajuan haruslah bersandar kepada al-Quran. Kemajuan yang tidak berpaut kepada nilai-nilai agama boleh membawa kepada kehancuran dan kemusnahan alam,” kata kenyataan tersebut.
Mereka menambah bahawa gerakan tari yang ditampilkan dalam persembahan ini dipengaruhi oleh seni mempertahankan diri seperti seni silat.
“Gerakan ini kemudiannya diadaptasi mengikut lirik lagu yang menggambarkan kejayaan.
Dalam menghadapi arus kemodenan, jati diri tetap harus dijaga sebagai bekalan untuk menghadapi cabaran-cabaran masa kini,” tambahnya.
Betul ke Sambutan Maal Hijrah tahun ini ada show mcm ni?
Apa signifikan dengan kehadiran robot-robot Transformer ni dlm sambutan Maal Hijrah ye?
Jika benar, ini mmg luarbiasa. Luar tabi’e! pic.twitter.com/sLKeJvyPLG
— A.Azarul (@ahmadazarul_) July 7, 2024