Baru je siap jadi pusat tarikan baharu, Majlis Daerah Cameron Highlands robohkan Cameron Santorini. Tular satu tarikan terbaharu di pusat peranginan Cameron Highlands yang dikenali sebagai Cameron Santorini.
Tarikan ini diinspirasikan dari pulau Santorini yang terletak di Greece, terkenal dengan pemandangan indah serta seni bina rumah yang unik.
Namun begitu, lokasi pelancongan ini didakwa telah dibina secara haram setelah digempur oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MDCH di Facebook, pemilik telah melakukan kesalahan pembinaan haram mengikut Seksyen 70 (1) Pembinaan Tanpa Kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Operasi yang bermula sekitar pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi tersebut diketuai oleh Yang Dipertua MDCH, Tuan Azmil Hadid bin Maznan, dan turut melibatkan kakitangan daripada MDCH serta agensi daerah termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Cameron Highlands (PDTCH), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Daerah Cameron Highlands (JKR), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).”
Turut dikongsikan beberapa keping gambar yang menunjukkan aksi perobohan berskala besar, termasuk penggunaan jengkaut.
Operasi ini juga jelasnya sebagai peringatan kepada mana-mana pihak agar mematuhi prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.
Pihak berkuasa berkaitan akan mengeluarkan kompaun terhadap pembinaan bangunan yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, termasuk ketiadaan kebenaran merancang.
Menurut sumber, kawasan tersebut berstatus pertanian dan disewa daripada pihak Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands.