Bapa kandung hadiahkan kad bank bernilai RM778,393 kepada anak selepas 3 dekad terpisah. Pasangan suami isteri di China yang percaya anak lelaki mereka meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan, kini mengetahui bahawa anak mereka sebenarnya masih hidup dan sihat selepas lebih tiga dekad terpisah.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa Zhang Huaiyuan, yang kini berusia 33 tahun, dibesarkan di sebuah perkampungan luar bandar yang miskin di Anhui. Beliau terkejut apabila mengetahui bahawa dia adalah anak angkat dan ibu bapa kandungnya adalah usahawan kaya dari wilayah Zhejiang di tenggara China.
Menurut laporan, doktor telah memberitahu ibu bapa kandung Zhang bahawa bayi lelaki mereka telah meninggal dunia kerana dilahirkan pramatang, tetapi sebenarnya bayi itu telah diberikan kepada saudara pengarah hospital.
Zhang dibesarkan kira-kira 400 kilometer dari wilayah Zhejiang di mana ibu bapa kandungnya tinggal.
Pasangan yang mengambilnya berusia lingkungan 50-an dan bapanya cacat, jadi Zhang menghadapi masalah kewangan hingga memaksanya berhenti sekolah pada usia 17 tahun.
Selepas kematian bapa angkatnya tahun lalu, ibunya (angkat) memberitahu Zhang bahawa bukan anak kandung mereka.
Selepas berpisah selama beberapa dekad, Zhang akhirnya bertemu ibu bapa kandungnya bulan lalu dengan bantuan polis.
Ketika perayaan besar yang diadakan di Zhejiang pada 20 Mei lalu, bapa kandung Zhang, Li Shijie, dengan sebak menghadiahkan anaknya kad bank mengandungi 1.2 juta yuan (kira-kira RM778,393).
Difahamkan, Zhang adalah anak kedua Li dan pasangannya.
“Anak pertama kami baru berusia setahun ketika hamil anak kedua. Sejak yang pertama dilahirkan melalui pembedahan yang belum sembuh sepenuhnya, jahitan isteri saya dibuka semula pada bulan keenam kehamilan,” kata Li.
Walaupun dibesarkan dalam kemiskinan, Zhang seolah-olah mewarisi bakat ibu bapa kandungnya dalam bidang perniagaan kerana memiliki sebuah kilang kecil.
Baru-baru ini, keluarga Li melawat rumah Zhang di Tianjin, timur China, dan bertemu dengan menantu serta cucu mereka yang berusia sembilan tahun.
“Anak saya yang malang hidup selama lebih 30 tahun tanpa mengetahui hari lahirnya sendiri. Tahun ini, keluarga kami akhirnya akan meraikannya bersama-sama,” kata Li.