Banyak kenangan, hari terakhir ‘Rumah Biru’ di Kampung Baru sebelum dirobohkan. Sebuah rumah yang terkenal kerana masih mengekalkan keaslian seni bina tradisional Melayu di Kampung Baru, yang dikenali sebagai ‘Rumah Biru’, dikatakan bakal dirobohkan.
Menurut salah seorang pemiliknya, Shafiq Abdullah, dalam entri Facebook beliau, tindakan ini perlu diambil untuk memberi laluan kepada projek pembongkaran semula palong yang tertanam di bawah tanah rumah tersebut.
Shafiq menjelaskan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur memerlukan kira-kira empat tahun untuk menyiapkan projek tersebut.
“Kampungku Kampung Baru, Kuala Lumpur di Jalan Salleh. Saya telah menetap di sini sejak tahun 1984 hingga 31 Mei 2024.
“Dengan ini, kami secara rasmi telah meninggalkan Rumah Biru untuk tempoh tiga hingga empat tahun, dengan harapan selepas ini, kami boleh kembali ke tanah air kami,” katanya.
Pada masa yang sama, Shafiq juga mengucapkan terima kasih kepada semua peminat rumah tersebut yang sering datang untuk mengambil gambar.
“Terima kasih kepada semua pengunjung yang datang secara rasmi atau tidak rasmi untuk mengambil gambar di rumah kami.
“Mohon maaf atas segala kesilapan kami sepanjang tempoh ini,” katanya.
Ramai orang awam mengekspresikan rasa sedih mereka terhadap keputusan ini, malah ada yang mencadangkan supaya binaan rumah tersebut disimpan dan dipasang semula apabila Shafiq dan keluarganya kembali ke tempat tersebut.
“Elakkan roboh rumah tu, simpan balik papan-papan tu. Lepas tu pasang balik bila sudah siap projek tu,” cadang Mustakim.
“Carilah tukang yang boleh buka dan pasang semula rumah tu. Sayangnya rumah cantik tu,” komen Man Putra.
“Sedihnya…” luah Linda Mazlan.