Bank-bank tidak dibenarkan guna WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan. Bank Pusat Arab Saudi (SAMA) telah melarang semua bank tempatan daripada menggunakan aplikasi penghantaran mesej segera seperti WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan, lapor portal berita Gulf News semalam.
Larangan ini dikeluarkan dengan alasan bimbang terhadap kebolehpercayaan dan risiko keselamatan pengguna.
Keputusan SAMA ini selari dengan pihak berkuasa kawal selia serta komitmennya untuk meningkatkan standard keselamatan institusi perbankan.
Bank-bank di Arab Saudi digesa untuk menggunakan perkhidmatan alternatif yang lebih selamat ketika berkomunikasi dengan pelanggan.
SAMA mencadangkan agar perkhidmatan sembang secara langsung atau perkhidmatan ChatBot digunakan oleh bank-bank tempatan.
Sementara itu, Jawatankuasa Media dan Kesedaran Bank Arab Saudi memberi amaran mengenai peningkatan kes penipuan yang melibatkan penipu yang menyamar sebagai pertubuhan kebajikan dan tokoh awam untuk meminta derma palsu melalui media sosial serta aplikasi pemesejan.