Banglo paling berhantu ada 14 bilik tidur dijual dengan harga RM9.57 juta. Sebuah banglo yang dijuluki sebagai ‘paling berhantu di Wales’ kini ditawarkan untuk dijual pada harga £1.6 juta (RM9.57 juta), seperti yang dilaporkan oleh akhbar Daily Mirror semalam.
Rumah tersebut dikenali sebagai Derwydd Mansion dan menawarkan 14 bilik tidur, empat bilik mandi, tujuh bilik tetamu, serta sebuah pondok yang lengkap untuk tetamu atau sewaan percutian.
Rumah ini mempunyai keluasan 1,185 meter persegi dan terletak di kawasan kampung yang tenang di Carmarthenshire, Wales.
Namun, menurut penduduk tempatan, rumah ini dikaitkan dengan hantu wanita yang dikenali sebagai White Lady atau nama sebenarnya, Gwen Vaughan, yang sering muncul di hadapan lelaki bujang di dalam rumah tersebut.
Sejarah rumah bermula sejak tahun 1485 dan pada satu ketika, ia menjadi tempat tinggal kepada kesatria Wales, Sir Rhys ap Thomas.
Kisah seram ini diperturunkan dari generasi ke generasi, dengan cerita mengenai penampakan hantu yang kerap muncul di tingkap rumah.
Di platform perbincangan sosial Reddit, seorang pengguna memberi komen bahawa rumah tersebut memang berhantu.
Seorang lagi pengguna menulis: “Makhluk halus itu hanya menghantui lelaki yang belum berkahwin.”