“Bancuh kopi guna diesel ke?”- Tular kedai umum naik harga secawan kopi 50sen jadi perhatian ramai.
Bagi pemilik perniagaan yang berkaitan dengan penghantaran dan sebagainya, pasti akan terasa kesan daripada kenaikan harga diesel yang dilaksanakan baru-baru ini.
Namun, tindakan sebuah kedai kopi terkenal yang turut menaikkan harga menu kopi mereka disebabkan kenaikan harga diesel telah menimbulkan persoalan di kalangan netizen di media sosial.
Menerusi notis yang dimuat naik di Facebook, kedai Kopi Hainan mengumumkan bahawa mereka berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan penawaran sedia ada, namun terpaksa menaikkan harga jualan kopinya susulan kenaikan kos semasa.
“Mewakili pihak Kopi Hainan HQ, kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan anda terhadap jenama dan produk kami.
“Pihak HQ Kopi Hainan telah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan harga jualan. Namun disebabkan faktor kenaikan kos semasa, kami terpaksa membuat penyesuaian harga jualan,” ujar wakil Kopi Hainan HQ kepada pelanggan mereka.
Difahamkan bermula 15 Julai ini, harga menu KOPI HAINAN bersaiz 22 oz adalah RM4.50 bagi cawangan di seluruh Malaysia. Kenaikan sebanyak 50 sen akan dikenakan bagi setiap cawan menu original.
Pihak Kopi Hainan turut membuat klarifikasi di ruangan komen bahawa kos bahan mentah semasa mereka sebenarnya sudah lama naik seperti susu, cawan, plastik, dan biji kopi terkini pula dinaikkan oleh pembekal.
Pengumuman notis Kopi Hainan itu telah menimbulkan tanda tanya di kalangan netizen yang merasakan agak tidak rasional dikenakan caj tambahan 50 sen sedangkan bisnes ini hanya berkaitan dengan minuman sahaja.
Sementara itu, beberapa netizen lain juga mempersoalkan mengapa baru sekarang mereka memutuskan untuk menaikkan harga, padahal kos bahan mentah telah meningkat sejak lama seperti yang dinyatakan.