Bagi biskut & mi segera dekat pengundi DUN Nenggiri tapi pakai pakaian harga belas ribu ringgit? Pakaian yang dikenakan oleh Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa, telah mencuri tumpuan dan menjadi topik hangat yang diperdebatkan warganet sepanjang tempoh kempen.
Annuar berkata beliau kini menjadi individu paling popular di Malaysia selepas selipar, kasut, dan stoking yang dipakainya mendapat perhatian ramai.
“Ambo (saya) ni ceramah setiap malam… akhir-akhir ini sangat sohor (popular). Orang paling sohor dalam Malaya (paling popular), sehari dua ini ambo (saya) lah. Sebab semua orang cakap pasal hal selipar, kasut, stoking,” katanya semasa Ceramah Umum PRK Nenggiri di Unit Daerah Mengundi Sungai Asap malam semalam.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, telah menyindir Annuar kerana memakai pakaian berjenama semasa berkempen.
Menurutnya, Annuar sepatutnya berlakon sedikit supaya tidak menunjukkan kemewahan kepada masyarakat Orang Asli di DUN berkenaan.
“Tular beberapa gambar Annuar Musa memakai barang jenama Louis Vuitton (LV). Baju LV. Jam LV. Selipar pun LV. Ia ekoran Annuar memakai baju LV ketika memberi maggie mee (mi segera) kepada pengundi Orang Asli,” katanya.