Azlee Senario minta dikeluarkan awal, tak tahan duduk hospital bil cecah RM40,000 selama 4 hari. Pelakon dan pelawak Azlee Senario yang baru-baru ini menjalani pembedahan meminta untuk keluar dari hospital lebih awal.
Walaupun disarankan untuk berehat di hospital bagi memudahkan pemantauan, Azlee, yang kini semakin stabil, tidak ingin menambah kos hospital yang sudah mencecah puluhan ribu itu.
Kalau ikutkan doktor, mereka tidak membenarkan saya pulang untuk memastikan jantung saya pulih sepenuhnya, tetapi saya memohon keluar.
Saya tidak enggan tinggal di hospital, tetapi bil untuk empat hari sahaja sudah mencecah RM40,000.
Tambahan pula, pelawak ini mendedahkan bahawa beliau tiada insurans untuk menampung kos tersebut.
“Saya pula tiada insurans sebab dulu saya ada penyakit hempedu dan hati. Keluarga berkongsi duit, selain bantuan Yayasan Selangor,” katanya.
Perlu jaga pemakanan
Di samping itu, Azlee berkata doktor telah menasihatkan dirinya untuk mengelakkan makanan yang tinggi kolesterol.
“Yang utamanya saya kena elak makanan berkolesterol. Keduanya, perkara ini juga boleh disebabkan akibat tekanan kerja dan sebagainya, jadi mungkin jantung pam laju.
“Apa yang dapat kongsi, jangan makan makanan berkolesterol kerana ia boleh menutup injap jantung.”
Terdahulu, Azlee ke klinik berdekatan rumahnya selepas mengalami kesukaran untuk bernafas sebelum dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).
HSB kemudiannya membawa Azlee ke IJN untuk menerima rawatan lanjut, sebelum menjalani pembedahan dan prosedur meletakkan sten pada hari sama.