Apakah dimaksudkan ‘bahaya’ oleh Pan Gon – TMJ. Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail, ingin mengetahui maksud sebenar dari perkara yang dinyatakan sebagai ‘bahaya’ oleh bekas pengendali negara, Kim Pan Gon.
Dalam satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, jurulatih dari Korea Selatan itu seolah-olah mengekalkan rahsia tentang alasan sebenar di sebalik keputusannya melepaskan jawatan sebagai pengendali pasukan Harimau Malaya.
Kim Pan Gon menyatakan bahawa beliau tidak dapat mendedahkan perkara sebenar kerana ia dianggap ‘bahaya’ dan hanya diketahui oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Kenyataan tersebut menarik perhatian Tunku Mahkota Ismail yang ingin Kim Pan Gon menjelaskan dengan lebih terperinci apa yang dimaksudkan dengan ‘bahaya’ tersebut.
“Apa susah. Pergi tanya dia (Kim Pan-gon) ramai-ramai apa maksudnya ‘berbahaya’. Penyokong, ahli politik, dan pihak media.
“Tanya dia apa sebenarnya maksudnya ‘berbahaya’. Jelaskan dengan lebih terperinci. Takut kena tembak? Takut kena culik? Kena sepak?
Berterus terang!” “@RimauXI Awak pernah datang rumah saya dulu, ada kena belasah? Bawa carta mengenai konspirasi dalam FAM. Tapi bila saya minta bukti, awak kata ini semua hanya teori. Jadi ini semua hanyalah lagi satu teori konspirasi,” tulis Tunku Ismail.
Sebelum ini, Pan-gon sah melepaskan jawatan sebagai pengendali pasukan Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan memegang jawatan tersebut.