Anwar sahkan GRS sertai kerajaan perpaduan, terima panggilan dari Ketua Menteri Sabah
Anwar sahkan GRS sertai kerajaan perpaduan, terima panggilan dari Ketua Menteri Sabah. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hari ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini secara rasmi menyertai Kerajaan Perpaduan.
Katanya, perkara itu dimaklumkan Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Dengan perkembangan terbaru itu, kerajaan secara jelas mencapai sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen, termasuk penglibatan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Hajiji memaklumkan bahawa GRS secara rasmi sertai Kerajaan Perpaduan.
“Ini bermakna kekuatan induk kita, termasuk GPS, kini sudah cecah dua pertiga sokongan Ahli Parlimen, yang akan perkukuh kestabilan politik negara,” jelasnya pada sidang media di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Terdahulu, beliau memulakan tugas hari pertamanya secara rasmi dengan mengimbas kad perakam waktu sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.
Tambahnya, ketika ini, kerajaan yang akan diketuai beliau akan menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengangkat martabat negara.
Pada masa sama, usaha untuk memperkukuh ekonomi juga akan digerakkan bagi membela nasib rakyat.
Semalam, Anwar menjemput parti serta gabungan politik lain untuk mendukung Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kukuh mentadbir Malaysia.