
Anak perempuan Lim Kit Siang dedah sesuatu, DAP berisiko kalah di Pulau Pinang
Anak perempuan Lim Kit Siang dedah sesuatu, DAP berisiko kalah di Pulau Pinang. Keadaan politik di Pulau Pinang dilihat berisiko buat DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata anak perempuan Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Hui Ying.
Hui Ying yang juga Setiausaha DAP Pulau Pinang mendakwa menerima laporan tinjauan yang tidak didedahkan secara terperinci kemungkinan senario politik di negeri itu boleh berubah, ia susulan kerjasama dengan UMNO dalam kerajaan campuran.
“Saya tidak pasti sama ada ini benar atau tidak, tetapi saya telah menerima banyak (mesej) yang memberitahu saya supaya jangan leka,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Hui Ying berkata DAP tidak boleh leka kerana kehilangan 20 peratus sokongan pengundi teras mereka daripada kaum Cina adalah sesuatu yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk memerintah kerajaan negeri.
“Jangan leka, jangan fikir kita pasti menang. Tadi saya dapat satu lagi mesej mengatakan Pulau Pinang (DAP) kehilangan 20 peratus sokongan kaum Cina.
“Mereka mungkin memilih untuk tidak mengundi, merosakkan undi mereka, atau mengundi PN,” katanya lagi.
Hui Ying terdahulu hadir ke majlis perasmian pusat gerakan kempen DAP di Pengkalan Kota.
Mengulas mengenai tinjauan itu, Ketua Menteri sementara, Chow Kow Yeow, yang hadir pada majlis itu, juga mendapati ia kurang menyenangkan.
“Hasil (tinjauan) menunjukkan kita tidak boleh ambil mudah dan mesti terus bekerja keras untuk merayu setiap undi,” katanya.
Menjawab kehadiran besar pada ceramah mega Perikatan Nasional (PN) di Sungai Dua malam tadi, beliau berkata semua parti mempunyai kubu kuat masing-masing.