Anak lelaki pelakon terkenal mengaku bunuh & kerat mayat pelancong di pulau Thailand. Lelaki Sepanyol mengaku membunuh dan mengerat mayat seorang lagi pelancong di pulau pelancongan terkenal Thailand, Koh Pha Ngan, baru-baru ini.
Polis percaya, bahagian anggota badan termasuk pinggul dan paha yang ditemukan di tempat pembuangan sampah, Khamis lalu adalah milik kepada pakar bedah plastik Colombia iaitu Edwin Arrieta Arteaga yang berusia 44 tahun.
Ketua Polis Koh Pha Ngan iaitu Panya Nirtimanon mengesahkan bahawa pelancong, Daniel Sancho Bronchalo yang berusia 29 tahun itu tiba di Thailand pada 31 Julai lalu mengaku melakukan pembunuhan itu.
“Dia mengakui melakukan perbuatan itu.”
“Mangsa dan suspek mengenali antara satu sama lain sebelum mereka datang ke Thailand dan kegiatannya yang meragukan menunjukkan dia mungkin membunuh mangsa.”
“Pihak kami masih menjalankan siasatan motif pembunuhan itu,” katanya
Media telah melaporkan bahawa suspek bekerja sebagai tukang masak dan anak kepada pelakon terkenal Sepanyol iaitu Rodolfo Sancho. Gambar suspek kelihatan sepadan dengan gambar di akaun Instagram Daniel Sancho yang turut mengikuti akaun mangsa.
Bagaimanapun, cubaan mendapatkan maklum balas daripada Kedutaan Sepanyol di Bangkok, Rodolfo Sancho dan ejennya tidak berjaya. Thailand adalah merupakan negara yang agak selamat kerana jenayah kekerasan jarang berlaku disana.
Koh Pha Ngan pula memang terkenal dengan pantai berpasir putih dan menarik ribuan pelancong yang berkunjung ke pesta bulan purnama.
Pada 2014, sebuah lagi pulau pelancongan Koh Tao digemparkan dengan pembunuhan dua pengembara ‘bagpackers’ British.
Dua warga Myanmar sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas pembunuhan itu, tetapi kumpulan hak asasi manusia menuduh pihak berkuasa Thailand menggunakan lelaki itu sebagai kambing hitam.