Alif Teega, Aisyah Hijanah didakwa salah guna wang derma RM1.52 juta

Photo of author

By Joe

Alif Teega, Aisyah Hijanah didakwa salah guna wang derma RM1.52 juta. Pempengaruh terkenal, Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak berjumlah lebih RM1.52 juta yang berlaku tiga tahun lalu.

Alif Teega, yang nama sebenarnya Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30, dan Aisyah Hijanah, 26, membuat pengakuan itu setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

“Faham pertuduhan, mohon dibicarakan,” ujar mereka ketika diminta membuat pengakuan secara berasingan.

Alif Teega, Aisyah Hijanah didakwa salah guna wang derma RM1.52 juta

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-10, pasangan tersebut didakwa bersama-sama secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM1,526,372.16. Jumlah tertinggi yang disalahgunakan adalah RM425,890.64, manakala jumlah terendah adalah RM438.38.

Wang tersebut sepatutnya digunakan untuk pelbagai tujuan infak, termasuk Projek Kurma, pembelian al-Quran di Masjidil Haram dan Nabawi, pek makanan untuk fakir miskin di Mekah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu (set pakaian muslimah), set pakaian raya untuk anak yatim, serta sedekah pek makanan dan sedekah qurban.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di bank CIMB dan Maybank di Seksyen 8 dan 9, Bandar Baru Bangi antara 11 Mei 2021 hingga 2 Julai 2024, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, sebatan dan denda.

Mahkamah membenarkan pasangan itu diikat jamin RM50,000 dengan syarat tambahan untuk melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan.

“Kedua-dua tertuduh juga tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi,” jelas hakim tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Mohd. Shahrullah Khan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 November ini.

Pada bulan Julai lalu, Alif dan Aisyah ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk siasatan mengenai salah guna kuasa. Pasangan itu kemudian memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar penahanan reman tersebut.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan pasangan itu setelah mendapati Mahkamah Majistret Putrajaya mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum ini, pempengaruh terbabit melalui peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah yang tular di media sosial kebelakangan ini. Pasangan suami isteri itu menegaskan bahawa mereka tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

Baca Lagi:
Misteri pintu diketuk tengah malam, penduduk yakin bukan orang tapi ‘benda’ itu
Ikan sebenarnya dahaga ke tak?, ini jawapannya yang ramai nak tahu
Influencer popular nafi mata lebam kerana dipukul suami