‘Aku sebenarnya biseksual’- Lelaki ini luah masalah suka lelaki dan perempuan, pernah diraba dan diliwat ketika umur 8 tahun. Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 28 tahun menceritakan masalah yang dihadapinya setelah menyedari bahawa dia seorang yang biseksual, iaitu tertarik secara seksual atau romantik kepada kedua-dua lelaki dan perempuan.
Menerusi perkongsian di aplikasi X, lelaki yang tidak mendedahkan identiti itu akui perasaan itu berpunca apabila pernah menjadi mangsa gangguan seksual sejak dia berusia 8 tahun lagi.
Aku bekerja dalam bidang professional. Boleh dikira muda dan berjaya untuk sesiapa seusia aku ingin berada sejawatan dengan aku sekarang.. Orang melihat aku seolah lengkap, sempurna, berjaya, ada rupa dan maskulin. Tak ubah seperti lelaki idaman seorang wanita tetapi aku sebenarnya dikhianti dengan perasaan bisexual.
Sewaktu kecil dari umur 8 tahun aku menjadi mangsa gangguan seksual dan berlarutan hingga 12 tahun. Aku awalnya diraba sehinggalah diliwat berkali-kali. Naifnya aku ketika itu. Aku diperlakukan begitu oleh orang terdekat.
Dari perasaan jijik sehingga aku sedar peristiwa itu telah mengubah kehendak seksual aku menjadi bisex.
Tambah lelaki ini lagi, dia juga sudah cuba mengawal diri dan nafsu setiap kali melihat kaum sejenis namun gagal. Sehinggakan ada satu tahap, dia berasa cemburu melihat orang lain menjalinkan hubungan normal (lelaki dan perempuan) sedangkan dirinya dibelenggu dengan perasaan biseksual.
Aku cuba melawan nafsu suka melihat lelaki tapi gagal.
Bukan hanya seorang wanita yang aku menolak secara baik untuk menikah tetapi 5 wanita yang sekufu dan setara. Kadang kala aku rasa tidak adil, si pelaku itu sudah mempunyai anak tetapi aku yang menderita dalam diam.
Aku merasakan dunia aku akan lebih baik jika aku tidak diganggu secara seksual sewaktu kecil. Mungkin aku mampu mengecapi kebahagiaan perkahwinan sebagaimana abang-abang aku yang lain.
Dalam kesempatan itu, lelaki ini meminta bantuan orang ramai agar menitipkan doa agar dirinya mampu menangani ujian dan masalah tersebut selain dapat menjalani kehidupan normal seperti insan lain.