Akaun Gmail yang kurang aktif akan dipadam Google mulai bulan depan. Pengguna Gmail yang tidak kerap menggunakan akaun mereka berisiko kehilangan akaun berkenaan pada Disember apabila Google mula memadamkan akaun yang kekal tidak aktif selama sekurang-kurangnya dua tahun.
Pembersihan akaun tidak aktif juga termasuk perpustakaan Foto Google, janji temu Kalendar Google dan arkib Google Docs, lapor United Press International (UPI).
Naib Presiden Pengurusan Produk Google, Ruth Kricheli berkata, syarikat itu sedang memadamkan akaun untuk mengurangkan sebarang kelemahan dan dasar ini hanya terpakai pada akaun peribadi.
Beliau berkata akaun yang terlupa atau tidak dijaga selalunya menggunakan kata laluan lama atau digunakan semula yang mungkin telah terjejas, belum menyediakan pengesahan dua faktor dan menerima semakan keselamatan yang sedikit oleh pengguna.
Akaun yang dikompromi boleh digunakan untuk apa sahaja daripada kecurian identiti kepada kandungan berniat jahat, katanya melalui catatan blog yang mengumumkan perubahan itu awal tahun ini.
“Cara paling mudah untuk memastikan Akaun Google aktif ialah log masuk sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun. Jika anda telah melog masuk ke Akaun Google anda atau mana-mana perkhidmatan kami baru-baru ini, akaun anda dianggap aktif dan tidak akan dipadamkan,” katanya.
Pengguna mesti log masuk ke Google Photos setiap dua tahun untuk dianggap aktif bagi melindungi imej daripada dipadamkan, katanya.