AJK masjid, surau akan dipecat jika benarkan penceramah tanpa tauliah berceramah agama – Sultan Ibrahim

Photo of author

By Joe

AJK masjid, surau akan dipecat jika benarkan penceramah tanpa tauliah berceramah agama – Sultan Ibrahim. Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Johor akan dikenakan tindakan dan berhadapan kemungkinan dipecat sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah memberi ceramah di negeri itu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan bahawa mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di Johor mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Titah baginda, semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama juga wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui pejabat kadi daerah.
Mereka perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan ketika memberi ceramah agama.

AJK masjid, surau akan dipecat jika benarkan penceramah tanpa tauliah berceramah agama - Sultan Ibrahim

“Sekiranya ada mana-mana masjid atau surau yang gagal patuhi peraturan itu, maka semua ahli jawatankuasa diambil tindakan dan dipecat.

“Tindakan ini bukan menghalang program menyebarkan syiar Islam tetapi adalah untuk mengawal penyebaran fahaman menyeleweng atau terpesong daripada hukum syarak berlandaskan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri Johor,” titan baginda.

Beliau bertitah demikian pada Pembukaan Rasmi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Bagi Penggal Persidangan Kedua di Kota Iskandar, Johor hari ini.

Baginda bertitah, tindakan ini dibuat bagi mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.

Justeru itu, kerajaan negeri harus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan.

Pada 8 Mac lalu, baginda memperkenankan langkah MAINJ untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di Johor.

Mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Baca Lagi:
Suami OKU, isteri berdepan hukuman gantung sampai mati
Bantuan Tunai RM200 selama 3 bulan untuk rakyat Malaysia
Jumpa dompet duit berkepuk, niat baik remaja pulangkan kepada tuan asal dibalas dengan ganjaran yang tak disangka