Ajal ketika curi kabel, 2 remaja maut terperangkap dalam lubang pembentung depan sekolah. Dua lelaki yang ditemukan maut selepas terperangkap dalam lubang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kamunting hari ini dipercayai cuba melakukan jenayah mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai sempat mencuri kabel sebelum terperangkap dan lemas dalam lubang tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa kejadian itu disedari oleh orang awam yang melihat penutup lubang dalam keadaan terbuka pada jam 8 pagi tadi dan segera memaklumkan kejadian itu kepada polis.
“Susulan daripada itu, pihak polis menghubungi syarikat telekomunikasi terbabit serta pihak bomba untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” kata Rodzi.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemui dua lelaki yang dipercayai terperangkap dalam lubang sedalam kira-kira enam meter itu.
“Polis memanggil bantuan pihak bomba untuk mengeluarkan mayat kedua-dua lelaki tersebut kerana keadaan lubang itu agak dalam,” kata beliau ketika ditemui di lokasi hari ini.
Menurut Rodzi, berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki itu dipercayai telah berjaya memotong kabel syarikat telekomunikasi di lubang pertama yang jaraknya kira-kira 30 meter dari lubang kedua.
Bagaimanapun, katanya, ketika mereka hendak memotong kabel di lubang kedua, mereka dipercayai terperangkap dan mati akibat lemas disebabkan kekurangan oksigen.
“Kita percaya kejadian ini berlaku awal pagi tadi sebelum penemuan mayat kedua-duanya tidak lama kemudian.
“Siasatan juga mendapati mereka adalah warga tempatan tetapi bukan penduduk di daerah ini.
“Setakat ini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-duanya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut,” kata Rodzi.
Media sebelum ini melaporkan dua lelaki ditemukan meninggal dunia selepas terperangkap dalam lubang pembetung di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kamunting dekat Jitra hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd Bustan Karudin, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.29 pagi.