Ais di Gunung Everest mula mencair, banyak mayat pendaki mula timbul. Peningkatan suhu dunia menyebabkan ais di gunung tertinggi di dunia, Everest, mula mencair, sekali gus menampakkan mayat pendaki yang sebelum ini tertimbus, menurut seorang Mejar Tentera, Aditya Karki.
Beliau yang mengetuai pasukan 12 anggota tentera bersama 18 pendaki sedang menjalankan kempen pembersihan di gunung Nepal, termasuk Everest dan puncak bersebelahan seperti Lhotse dan Nuptse.
Sejak lapan musim lalu, seramai 300 pendaki telah terkorban di gunung berkenaan semasa ekspedisi yang bermula sejak tahun 1920-an.
Menurut Karki, setakat ini pasukannya telah berjaya menemui lima mayat, termasuk satu daripadanya yang hanya tinggal rangka untuk dibawa turun.
Sudah tentu, operasi yang dijalankan ini bukanlah satu tugas yang mudah dan sangat berbahaya bagi pasukan penyelamat.
“Paling mencabar adalah membawa turun mayat dari ketinggian 8,700 meter berhampiran puncak,” katanya.
Oleh kerana cuaca yang terlampau sejuk, mayat pendaki yang maut ketika cuba mencapai puncak gunung setinggi 8,848 meter itu masih dalam keadaan baik, dan ada di antaranya sudah beberapa dekad terkubur di sana.
Difahamkan, anggota pasukan penyelamat mengambil masa berjam-jam untuk memecahkan ais menggunakan kapak, dan ada juga yang menggunakan air mendidih untuk mencairkan ais yang sudah beku.
Masih banyak mayat bergelimpangan di lereng bukit berkenaan, ada yang ditimbus oleh salji atau berada di celahan batu gunung.
Keadaan mayat amat menyedihkan, dan ada di antara mereka masih lagi memakai peralatan berwarna-warni yang digunakan untuk menakluki gunung itu.
Ada pendaki yang percaya pergerakan glasier Khumbu antara punca mayat-mayat tersebut timbul, dan kos untuk membawa turun mayat dari Gunung Everest boleh mencecah antara 30,000 pound (RM159,760) hingga 61,000 pound (RM324,840).