Agong beri amaran akan tarik balik darjah penerima yang terlibat jenayah dan cemar nama negara

Photo of author

By Joe

Agong beri amaran akan tarik balik darjah penerima yang terlibat jenayah dan cemar nama negara. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini memberi amaran bahawa darjah kebesaran, bintang, dan pingat Persekutuan akan ditarik balik daripada penerima yang terlibat dalam jenayah, mencemarkan nama negara, atau dihukum oleh mahkamah.

Baginda bertitah, setiap penerima yang telah dipilih harus bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku, dan tidak terlibat dalam kegiatan rasuah serta sebarang kesalahan jenayah.

“Jika ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan dihukum oleh mahkamah, maka segala darjah dan pingat kebesaran akan ditarik balik.

Agong beri amaran akan tarik balik darjah penerima yang terlibat jenayah dan cemar nama negara

“Oleh itu, saya telah mengarahkan kerajaan untuk menyemak senarai banduan di semua penjara. Mana-mana banduan yang memiliki darjah kebesaran, maka darjah tersebut akan ditarik balik. Hal ini hanya melibatkan darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, manakala darjah negeri lain tidak termasuk dalam hal ini,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Turut berangkat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Baginda bertitah bahawa setiap tahun, ramai pihak menaruh harapan dan berusaha untuk mendapatkan darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, malah ada juga yang terpedaya dan ditipu oleh ejen yang mengambil kesempatan.

Sultan Ibrahim turut mendedahkan bahawa terdapat juga individu yang melobi baginda sendiri untuk mendapatkan darjah yang membawa gelaran Tan Sri atau Datuk, namun perkara tersebut tidak dilayan sama sekali.

“Saya ingin menyatakan bahawa setiap pencalonan yang dibawa oleh kerajaan akan saya teliti satu persatu dan pertimbangan akan diberikan kepada calon yang benar-benar layak, yang telah berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat, dan negara,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda hanya berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang, dan pingat Persekutuan kepada 116 penerima sahaja pada tahun ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Persekutuan 2024. Beliau dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.

Baca Lagi:
Individu jual basikal ‘karat’ zaman Jepun RM1,000 undang pelbagai reaksi netizen
Sebelum beli tanah, anda patut baca ini dahulu
Ikan emas terbesar di dunia ditemui mati pada usia 20 tahun