Ada 1,050,000,000 unit saham ditawarkan, ini cara mohon saham 99 Speed Mart khas untuk Bumiputera. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengumumkan bahawa tawaran Saham Khas Bumiputera bagi 99 Speed Mart Retail Holding kini telah dibuka.
Pengumuman tersebut disampaikan melalui satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi kementerian pada hari ini.
Menurut hantaran tersebut, tawaran tersebut telah dibuka sejak semalam dan akan ditutup pada 18 Mei ini.
Masyarakat yang berminat untuk memiliki saham tersebut boleh membuat permohonan secara atas talian melalui pautan sahamonline.miti.gov.my.
Tawaran Saham Khas Bumiputera 99 Speed Mart dibuka, cara mohon ada di bawah
Dalam pada itu, MITI mengingatkan pemohon bahawa penghantaran borang secara manual ke Menara MITI tidak lagi ditawarkan.
Menurut maklumat yang dipaparkan di laman web Saham Online MITI, saham khas 99 SpeedMart yang ditawarkan melibatkan jumlah sebanyak 1,050,000,000 unit.
Bagaimanapun, harga tawaran indikatif saham-saham tersebut akan dimaklumkan kemudian.
Syarat-syarat memohon Saham Khas Bumiputera
Berdasarkan maklumat yang tertera pada bahagian Soalan Lazim, terdapat empat syarat yang perlu dipenuhi oleh pemohon (individu) yang berminat untuk memohon. Syarat-syarat tersebut adalah:
- Warganegara Malaysia;
- Berstatus Bumiputera;
- Berusia 18 tahun dan ke atas;
- Mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membiayai permohonan/langganan saham.
Manakala pelajar sepenuh masa sama ada di sekolah atau IPTA/IPTS/Universiti luar negara tidak layak memohon Saham Khas Bumiputera di bawah peruntukan MITI.
Bagaimanapun, pemohon yang mempunyai pekerjaan tetap dan belajar secara separuh masa adalah layak memohon dengan mengemukakan surat pengesahan dari universiti.
Selain kategori Individu, Saham Khas Bumiputera juga boleh dimohon oleh pihak Syarikat, Koperasi, dan Yayasan dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi. Maklumat lanjut mengenai syarat-syarat tersebut boleh didapati di https://sahamonline.miti.gov.my/portal/faq.
Berapa unit saham yang boleh dipohon?
Menurut MITI, minima unit saham yang boleh dipohon adalah sebanyak 3,000 unit sahaja, manakala tiada had maksimum ditetapkan. Keputusan muktamad adalah tertakluk kepada kelulusan pihak MITI.
Maklumat berkenaan prosedur yang dipenuhi termasuk dokumen-dokumen yang perlu disediakan serta perkara-perkara lain boleh diperoleh di laman web Saham Online MITI.