‘Abang Viva’ terima sijil penghargaan bomba

‘Abang Viva’ terima sijil penghargaan bomba

‘Abang Viva’ terima sijil penghargaan bomba. Abang Viva’ atau nama sebenarnya Azwan Omar hari ini diberi sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini

Azwan merupakan salah seorang daripada 36 individu yang diberi penghargaan pada majlis berkenaan susulan pengorbanan dan sumbangan yang disalurkan ketika beberapa negeri dilanda bencana banjir penguhung tahun lalu.

Sebelum ini, gelaran Abang Viva menjadi tular di platform-platform media sosial dan dada-dada akhbar apabila beliau sanggup turun sendiri meredah banjir bagi membantu menyelamatkan mangsa yang terkandas di Shah Alam, Selangor dengan berbekalkan wang RM50 dan sebuah bot yang diikat di atas kereta Perodua Viva dipandunya dari Melaka.

JBPM dalam satu kenyataan berkata, pada majlis berkenaan, seramai 15 petugas media, 10 orang awam, lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan enam wakil agensi swasta menerima sijil yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Turut menerima sijil penghargaan dan saguhati adalah Datuk Mohamad Dean Law Abdullah yang turut sama memberi sumbangan dan khidmat kemanusiaan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas di sekitar Selangor, Pahang serta Johor.

“Penyampaian sijil ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada individu-individu terbabit yang banyak membantu serta menyokong kelangsungan JBPM.

“Ada antara penerima sijil ini merupakan kategori orang awam yang sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan orang lain,” kata kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu, sebanyak lima PBS turut diberi sijil penghargaan atas sumbangan mereka dalam operasi menyelamat mangsa banjir di lokaliti masing-masing pada Disember tahun lalu.

Selain itu, turut dilancarkan dalam majlis tersebut adalah Skuad Kebajikan JBPM yang bertujuan untuk membantu pegawai dan anggota bomba yang ditimpa musibah dan Dasar Latihan Kebombaan dan Penyelamatan (DLKP) yang berkuatkuasa pada tahun ini bagi menggantikan Dasar Latihan Sumber Manusia 2007 sebagai penambahbaikan dan pindaan kepada sembilan teras Dasar Latihan Sumber Manusia sedia ada.

CATEGORIES
TAGS