Tidak berpuasa di bulan Ramadhan ketika bermusafir adalah sunnah Nabi.. Betul ke ? Ini jawapan mufti..

Tidak berpuasa di bulan Ramadhan ketika bermusafir adalah sunnah Nabi.. Betul ke ? Ini jawapan mufti..

Tidak berpuasa di bulan Ramadhan ketika bermusafir adalah sunnah Nabi.. Betul ke ? Ini jawapan mufti..

Rata-rata umat Islam di Malaysia sudahpun memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri. Seperti yang kita tahu, perjalanan di hari lebaran lebih mencabar berbanding hari-hari biasa memandangkan jumlah kenderaan yang bertambah di jalan raya.

Malah, para pengguna jalan juga berdepan dengan kesukaran untuk singgah di mana-mana hentian rehat & rawat (R&R) yang ada disebabkan kemudahan tersebut sentiasa penuh dengan pengunjung. Justeru, mungkin ada yang berdepan dengan sedikit kesulitan untuk meneruskan ibadah puasa dalam situasi sebegini, terutamanya bagi kanak-kanak atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Tidak berpuasa di bulan Ramadhan ketika bermusafir adalah sunnah Nabi.. Betul ke ? Ini jawapan mufti..

Selain itu, ada juga yang khuatir sekiranya tahap fokus di jalan raya terjejas sekiranya masa yang diambil untuk tiba di destinasi yang hendak dituju bertambah. Cabaran seperti mengantuk dan dahaga adalah perkasa biasa yang perlu dihadapi dan biasanya dapat dikurangkan dengan hanya sekadar mengunyah gula-gula atau meneguk air.

Seperti yang kita semua tahu, di dalam Islam sebenarnya ada diberi kelonggaran iaitu diharuskan berbuka puasa bagi orang yang sedang bermusafir. Bagaimanapun, keringanan yang diberikan tidaklah boleh dipandang mudah memandangkan ibadah puasa adalah ibadah yang penting di dalam agama kita.

Justeru, untuk memahami lebih lanjut siapakan orang yang sedang bermusafir yang dibenarkan berbuka atau tidak berpuasa, marilah sama-sama kita baca penjelasan lanjut daripada Pejabat Mufti Wilayah ini. Semoga bermanfaat.

Tidak berpuasa di bulan Ramadhan ketika bermusafir adalah sunnah Nabi.. Betul ke ? Ini jawapan mufti..

Soalan:
Benarkah sunnah nabi untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan ketika bermusafir?

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para keluarga, sahabat, serta golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Mukadimah
Kami mukadimahkan jawapan bagi persoalan ini dengan penjelasan seseorang itu bermusafir di Ramadhan dengan musafir yang jauh kira-kira 85 kilometer atau lebih, maka harus baginya untuk berbuka puasa dan ke atasnya qadha’. Ini berdalilkan firman Allah Taala:

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain

(Surah al-Baqarah, 2:185)

Disyaratkan hendaklah musafir itu kerana suatu perkara yang mubah, bukan maksiat, atau pun menolong suatu perbuatan maksiat.

Disyaratkan juga hendaklah musafir itu berlaku atau bermula sebelum terbitnya fajar sadiq. Justeru, jika dia berpuasa dalam keadaan bermukim, lalu dia melakukan musafir pada siang harinya, maka haram baginya untuk berbuka kerana telah disyariatkan ke atasnya untuk berpuasa. Puasa baginya adalah amalan ibadah yang tidak boleh dibatalkan. Ini berpandukan firman Allah Taala:

وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!

(Surah Muhammad, 47:33)

Pengecualian diberikan dalam kes jika seseorang itu berada dalam keadaan darurat untuk berbuka puasa maka boleh dia berbuka kerana darurat maka berbukanya kerana darurat dan bukannya kerana musafir.

Orang yang bemusafir dalam bulan Ramadhan harus untuk berpuasa. Dia diberi pilihan sama ada untuk berpuasa atau berbuka. Ini berdasarkan hadis Aisyah bahawa Hamzah bin Amr al-Aslami bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَأَصُومُ فِي السَّفَرِ؟ -وَكَانَ كَثِيرَ الصِّيَامِ -، فَقَالَ: إِنْ شِئْتَ فَصُمْ، وَإِنْ شِئْتَ فَأَفْطِرْ

Maksudnya: “Adakah (wajib) aku berpuasa ketika musafir?” – sedangkan dia seorang yang banyak berpuasa. Maka sabda Rasulullah SAW: “Jika engkau mahu engkau boleh berpuasa, jika engkau mahu engkau boleh berbuka.”

Riwayat al-Bukhari (1943)

Namun apabila safarnya itu tidak menyusahkannya maka afdal baginya untuk terus berpuasa. Ini berdalilkan hadis Anas RA yang berkata kepada orang yang bermusafir:

إِنْ أَفْطَرْتَ فَرُخْصَةُ اللهِ , وَإِنْ صُمْتَ فَهُوَ أَفْضَلُ

Maksudnya: Jika engkau berbuka maka itu adalah rukhsah daripada Allah, dan jika engkau berpuasa maka itu lebih afdal.”

Riwayat al-Baihaqi (8170) dalam al-Sunan al-Kubra

Ini juga dikuatkan dengan firman Allah:

وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ

Maksudnya: Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu

(Surah al-Baqarah, 2:184)

Afdal berpuasa bagi orang seperti ini agar tidak bertangguh puasa kerana lupa atau berlakunya perkara yang tidak dijangka pada waktu-waktu mendatang.

Adapun jika berpuasa itu menyukarkan bagi orang yang bermusafir maka afdal baginya untuk berbuka, berdasarkan hadis daripada Jabir RA bahawa dia berkata yang Rasulullah SAW bertemu seseorang di bawah teduh pohon, dalam riwayat lain, dia sedang disirami air ke atasnya, lalu baginda bertanya orang ramai:

فَقَالَ: مَا هَذَا؟، فَقَالُوا: صَائِمٌ، فَقَالَ: لَيْسَ مِنَ البِرِّ الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ

Maksudnya: “Kenapa dengan (sahabat kamu) ini?” Para sahabat menjawab: “Dia berpuasa wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Bukan daripada kebaikan, berpuasa ketika musafir.”

Riwayat al-Bukhari (1946)

Jika seorang yang musafir itu berpuasa, kemudian dia ingin berbuka, dia boleh melakukannya kerana keuzuran itu masih wujud. Begitu juga seperti hal orang yang sakit berpuasa, kemudian dia mahu berbuka, maka dia boleh berbuka, sama ada dengan niat rukhsah atau tidak.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/195-196)

Sifat Puasa Nabi SAW Ketika Musafir
Direkodkan juga di dalam kitab-kitab hadis akan sifat puasa Nabi SAW. Antaranya:

Daripada Abu Darda’ RA bahawa dia berkata:

خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ فِي يَوْمٍ حَارٍّ حَتَّى يَضَعَ الرَّجُلُ يَدَهُ عَلَى رَأْسِهِ مِنْ شِدَّةِ الحَرِّ، وَمَا فِينَا صَائِمٌ إِلَّا مَا كَانَ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَابْنِ رَوَاحَةَ

Maksudnya: “Kami keluar bersama Nabi SAW dalam salah satu permusafiran baginda, pada suatu hari yang panas, sehingga seorang lelaki meletakkan tangan atas kepalanya dek terlalu panas. Dalam kalangan kami tidak ada seorang pun yang berpuasa melainkan Nabi SAW dan Ibn Rawahah.”

Riwayat Bukhari (1945) dan Muslim (1122)

Anas bin Malik RA pernah ditanya tentang berpuasa ketika safar. Dia menjawab:

سَافَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ، فَلَمْ يَعِبِ الصَّائِمُ عَلَى الْمُفْطِرِ، وَلَا الْمُفْطِرُ عَلَى الصَّائِمِ

Maksudnya: “Kami (para sahabat) bermusafir bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan. Tidak ada seorang pun yang berpuasa berasa aib dengan orang yang berbuka, atau orang yang berbuka berasa aib dengan orang yang berpuasa.”

Riwayat Muslim (1188)

Daripada Abu Said al-Khudri RA berkata:

كُنَّا نَغْزُو مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ، فَمِنَّا الصَّائِمُ وَمِنَّا الْمُفْطِرُ، فَلَا يَجِدُ الصَّائِمُ عَلَى الْمُفْطِرِ، وَلَا الْمُفْطِرُ عَلَى الصَّائِمِ، يَرَوْنَ أَنَّ مَنْ وَجَدَ قُوَّةً فَصَامَ، فَإِنَّ ذَلِكَ حَسَنٌ وَيَرَوْنَ أَنَّ مَنْ وَجَدَ ضَعْفًا، فَأَفْطَرَ فَإِنَّ ذَلِكَ حَسَنٌ

Maksudnya: “Kami berperang bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan. Sebahagian kami berpuasa dan sebahagian lain berbuka. Orang yang berpuasa tidak melihat keburukan dengan orang yang berbuka, dan tidak pula yang berbuka memandang buruk orang yang berpuasa. Mereka berpandangan siapa yang ada kekuatan silakan berpuasa, dan itu adalah kebaikan. Dan mereka juga berpandangan siapa yang berasa lemah kemudian berbuka dan itu juga kebaikan.”

Riwayat Muslim (1116)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, berkata:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِنَ المَدِينَةِ إِلَى مَكَّةَ، فَصَامَ حَتَّى بَلَغَ عُسْفَانَ، ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَرَفَعَهُ إِلَى يَدَيْهِ لِيُرِيَهُ النَّاسَ، فَأَفْطَرَ حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ، وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ ، فَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ يَقُولُ: «قَدْ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَفْطَرَ، فَمَنْ شَاءَ صَامَ وَمَنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar daripada Mekah ke Madinah (ketika peristiwa Fath Makkah) dengan keadaan berpuasa (Ramadhan) sehingga sampai ke kawasan `Usfan. Kemudian baginda meminta air lalu dibawakan air ke hadapan baginda sehingga dapat dilihat oleh orang ramai, lalu baginda berbuka puasa sehingga baginda sampai ke Mekah. Ini berlaku dalam bulan Ramadhan.” Ibn Abbas berkata lagi: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berpuasa dan juga berbuka. Barangsiapa yang mahu maka dia berbuka, dan barangsiapa yang mahu dia berbuka.”

Riwayat al-Bukhari (1948)

Kesimpulan
Justeru, kami berpendapat bahawa sunnah Rasulullah SAW dalam hal ini bukan satu bentuk sahaja, hukum berpuasa ketika musafir itu memiliki banyak keadaan. Kadang-kadang lebih afdal untuk berpuasa. Ini sesuai dengan kaedah fiqh yang disebut oleh Imam al-Qarafi:

كان ترك الترخص في كثير من العبادات أولى

Maksudnya: “Meninggalkan rukhsah itu dalam banyak jenis ibadat adalah lebih utama.”

Rujuk al-Furuq (1/120)

Terkadang pula lebih afdal untuk berbuka, khususnya dalam kes-kes melibatkan kesusahan dan mudarat. Hal ini kembali kepada matlamat asal rukhsah itu. Jika bertujuan untuk perkara yang melibatkan maslahah seperti peperangan dan misi kemanusiaan dan dakwah, lalu bertemu dengan kepayahan akibat puasa, maka afdal baginya untuk berbuka agar dia mendapat tenaga dan kekuatan bagi menyelesaika misi yang mulia. Begitu jugalah sebaliknya. Demikianlah, kita lihat para ulama fiqh begitu teliti menyusun kefahaman daripada hadis-hadis itu sebagai pemudah bagi kita untuk beramal.

Baca Lagi:

Gadis terkejut semua duit dalam bank lesap, rupanya ini yang terjadi..

[VIDEO] Lelaki tak berbaju duduk tengah jalan “punca jem”

Lapan wanita Kelantan dipercayai ‘tukar wajah’ selepas diburu polis kes bunuh dan rompak

CATEGORIES