Peniaga bazar Ramadan dikompaun RM18,100 di Terengganu

Peniaga bazar Ramadan dikompaun RM18,100 di Terengganu

Peniaga bazar Ramadan dikompaun RM18,100 di Terengganu.

Peniaga bazar Ramadan di negeri ini dikompaun sebanyak RM18,100 selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sebanyak 152 notis pelbagai kesalahan turut dikeluarkan terhadap peniaga yang dikesan melakukan kesalahan melalui pemantauan di bazar Ramadan di seluruh negeri.

Katanya, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan dijalankan 278 anggota di 1,733 gerai jualan makanan dan minuman di 59 lokaliti bazar Ramadan sejak 3 April lalu.

“Kesalahan tertinggi dikesan ialah tidak memakai apron (72 kes) diikuti tidak memenuhi piawaian kebersihan diri (23 kes), menggaji pekerja yang tidak mempunyai latihan dan tidak mendapat suntikan tifoid (14 kes) serta lain-lain kesalahan.

“Sehingga semalam, sebanyak 122 sampel makanan diambil secara rawak seperti menu yang menggunakan santan, aneka kerabu dan kuih-muih untuk dianalisis di makmal bagi memastikan makanan dijual selamat dan terjamin,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di bazar Ramadan Batu Buruk, di sini, pada Rabu.

Mengulas mengenai isu keselamatan makanan, Dr Kasemani berkata, orang ramai kini mempunyai platform aduan secara lebih mudah dengan hanya menggunakan sistem Kod QR.

“JKNT telah mewujudkan sistem Kod QR yang boleh diimbas di pintu masuk setiap bazar Ramadan. Ia bagi membolehkan orang ramai membuat aduan mengenai kualiti makanan yang dijual dengan lebih mudah dan pantas,” katanya.

Menurut Dr Kasemani, pemeriksaan bazar Ramadan turut disertai seramai 64 anggota daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Peniaga bazar Ramadan dikompaun RM18,100 di Terengganu

Katanya, pemeriksaan itu tidak hanya terhad kepada premis atau gerai yang berdaftar dengan PBT bagi memastikan makanan dijual kepada orang ramai selamat dan bebas dari pencemaran.

“Anggota dan penguatkuasa jabatan juga terus memberi nasihat kepada peniaga setiap kali pemantauan bagi memastikan makanan yang dijual tidak terdedah, pengendali makanan memakai pakaian yang lengkap dan bersih, serta tidak menjual semula makanan yang tidak habis pada hari sebelumnya bagi mengelak berlakunya kes keracunan makanan.

“Pemilik premis yang menerima makanan daripada orang lain untuk dijual di bazar Ramadan ini disarankan mempunyai alamat dan nombor telefon individu terbabit bagi memudahkan dihubungi jika berlaku sebarang kes seperti keracunan makanan,” katanya.

Baca Lagi:

Lelaki pukul dua perompak sampai mati, didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh

Suara sebenar Paderi Firaun kini boleh didengari, sangat menyeramkan!

Saksi dedah punca sebenar Siti Bainun mula ‘naik gila’ pukul Bella

CATEGORIES