700 pekerja untung besar, jutawan wariskan syarikat sebelum meninggal dunia. Pengasas syarikat Bob’s Red Mill, Bob Moore, telah mewariskan syarikatnya kepada 700 pekerja sebelum beliau meninggal dunia.
Beliau difahamkan telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun pada 10 Februari 2024, seminggu yang lalu.
Syarikatnya, yang terkenal sebagai pengeluar produk berasaskan bijirin terkemuka di Amerika Syarikat, diasaskan pada tahun 1978. Selain produk-produk keluarannya, syarikat yang diasaskan Moore juga dikenali kerana layanan baiknya terhadap pekerja.
Sebelum pemergiannya, Moore telah membangunkan satu struktur pemilikan yang unik untuk syarikat makanan berasaskan bahan semula jadi itu. Biasanya, pemilik syarikat akan menjual syarikat mereka kepada konglomerat atau mewariskannya kepada ahli keluarga sebelum meninggal dunia. Namun, Moore memilih untuk memberikan hak pemilikan penuh syarikatnya kepada 700 pekerja, menurut laporan Fortune.
Moore telah memulakan rancangan untuk menyerahkan hak pemilikan Bob’s Red Mill pada tahun 2010. Menurut laporan NDTV, beliau telah melancarkan pelan pemilikan saham kepada 209 pekerjanya ketika sambutan hari lahirnya yang ke-81 tahun. Syarikat itu kemudian berkembang sehingga mempunyai 700 pekerja pada April 2020 dan menjadi kepunyaan penuh pekerjanya sebelum beliau meninggal dunia.
Keputusan jutawan ini untuk mewariskan syarikat kepada 700 pekerja adalah bertujuan untuk mengutamakan kebajikan pekerjanya. Moore sebelum ini memberitahu bahawa beliau memilih untuk tidak mengikuti model perniagaan konvensional, di mana pemilik dan pengurusan syarikat lebih mengutamakan keuntungan berbanding kebajikan pekerja.
“Saya belajar hampir 70 tahun yang lalu tentang betapa pentingnya kerja keras dan kebaikan untuk berjaya. Sepanjang perniagaan kecil kami berkembang, saya sedar bahawa saya mempunyai peluang besar untuk menjadi seorang yang pemurah,” kata Moore.
Moore juga menyatakan pada tahun 2018 bahawa Bob’s Red Mill adalah salah satu impiannya yang telah menjadi kenyataan. Dalam beberapa sesi temu bual, beliau meluahkan rasa sayang terhadap syarikat tersebut dan mengatakan bahawa beliau tidak akan menjualnya kepada pihak lain walaupun telah menerima pelbagai tawaran.
“Mereka menyangka bahawa saya seorang yang bodoh kerana tidak mahu menjual syarikat saya. Tetapi mereka tidak boleh membina apa yang telah saya bina selama ini,” tambahnya.
Moore turut menjadi sebahagian daripada ahli lembaga syarikatnya sehingga akhir hayatnya, walaupun beliau telah mengumumkan persaraannya pada tahun 2018.
Untuk makluman, jutawan ini menubuhkan syarikat tersebut ketika berusia 49 tahun. Sebelum mengusahakan Bob’s Red Mill, Moore merupakan pemilik stesen minyak dan pengurus stor di J.C. Penney. Beliau memilih untuk bersara awal bagi memulakan perniagaan sendiri dan mendedikasikan dirinya untuk mempelajari kitab Bible.
Berdasarkan laporan Forbes, hasil pendapatan syarikatnya dianggarkan berjumlah sekitar $100 juta (RM477.65 juta) pada tahun 2018. Bob’s Red Mill telah menjual lebih dari 200 produk di lebih 70 buah negara di seluruh dunia.